Kucing diseret dan dikurung, rakaman CCTV bongkar kucing dianiaya jiran | The Reporter

Kucing diseret dan dikurung, rakaman CCTV bongkar kucing dianiaya jiran

Jojo, kucing berwarna oren yang ditemui mati di dalam tong sampah plastik biru bertutup di lokasi kejadian
Jojo ketika masih hidup, kucing jinak yang hanya bermain di hadapan rumah. Tong biru inilah tempat dia ditemui mati selepas dikurung tanpa ruang udara. Gambar: Thread Shahjihanshah

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Isu penderaan haiwan kembali mendapat perhatian selepas perkongsian seorang wanita di Threads mengenai kehilangan dan kematian kucing peliharaannya, Jojo.

Jojo, didakwa menjadi mangsa kekejaman sekumpulan kanak-kanak. Kisah menyedihkan itu mencetuskan gelombang simpati serta kemarahan ramai pengguna media sosial yang menuntut keadilan untuk Jojo.

Insiden yang berlaku di kawasan perumahan wanita berkenaan turut membuka perbincangan tentang pengawasan ibu bapa dan sikap belas ihsan terhadap haiwan, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Rakaman CCTV rungkai insiden

Menurut perkongsian oleh @shahjihanshah, wanita berkenaan bersama suaminya menyedari kehilangan Jojo selepas pulang lewat malam dari tempat kerja. Kucing tersebut kebiasaannya menyambut mereka pulang untuk makan, namun malam itu tiada tanda-tanda kelibatnya. Keesokan pagi, selepas diberitahu ibu mentua bahawa Jojo langsung tidak muncul walaupun dipanggil sejak subuh, mereka mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan terus keluar mencari kucing tersebut.

Pencarian di sekitar taman perumahan dan pertanyaan kepada jiran-jiran tidak membuahkan hasil. Namun, semakan rakaman CCTV akhirnya mendedahkan pergerakan mencurigakan tiga orang remaja yang datang ke hadapan rumah mereka sebanyak tiga kali. Pada kunjungan kedua, salah seorang daripada mereka dilihat mengambil dan menyeret Jojo keluar dari kawasan rumah. Usaha untuk mengambil seekor lagi kucing gagal selepas kucing tersebut melarikan diri.

Dikurung dalam tong bertutup

Keluarga kemudian menyebarkan rakaman video dalam kumpulan WhatsApp penduduk dan berjaya mengesan rumah pelaku. Namun, setibanya di tempat kejadian, Jojo ditemui mati dalam sebuah tong bertutup berwarna biru bersama dengan seekor lagi kucing.

Wanita berkenaan percaya kucing tersebut mati akibat sesak nafas setelah dikurung dalam ruang sempit tanpa udara. Kucing itu hanya dijumpai selepas hampir 17 jam dari waktu ia diambil berdasarkan CCTV.

Susulan kejadian, laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa datang ke rumah mereka untuk mengambil gambar tempat kejadian serta menghantar bangkai Jojo ke bahagian veterinar untuk siasatan lanjut. Polis turut memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga pelaku.

Keluarga pelaku ada cuba menghubungi serta hadir ke rumah untuk berbincang, namun wanita itu memaklumkan bahawa dia enggan mengadakan sebarang pertemuan selepas laporan rasmi dibuat.

Peristiwa tragik yang menimpa Jojo bukan sekadar kisah kucing mati namun menjadi titik mula perbincangan lebih besar tentang tanggungjawab ibu bapa, nilai empati terhadap haiwan, dan bagaimana tindakan kecil yang cuai boleh mengundang trauma besar kepada orang lain.

Tanda pagar #JusticeforJojo kini digunakan oleh ribuan pengguna media sosial sebagai simbol solidariti dan desakan untuk tindakan tegas terhadap penderaan haiwan tanpa mengira usia pelaku.

Related Posts