16 tahun disayangi, kini kucing ini kemurungan selepas diserahkan ke pusat perlindungan | The Reporter

16 tahun disayangi, kini kucing ini kemurungan selepas diserahkan ke pusat perlindungan

Kucing tua duduk diam menghadap dinding dalam sangkar pusat perlindungan
Kucing ini kelihatan sangat tertekan selepas ditinggalkan tuannya di pusat perlindungan

Bayangkan, selepas 16 tahun hidup dalam suasana rumah yang tenang dan penuh kasih sayang, seekor kucing bernama Kaylee kini hanya duduk terpaku menghadap dinding sangkar seolah-olah ingin ‘menghilangkan diri’ dari dunia.

Itulah nasib Kaylee, seekor kucing betina yang baru-baru ini diserahkan ke pusat perlindungan haiwan di Indiana, Amerika Syarikat.

Menurut Humane Society of Hamilton County, Kaylee dibawa masuk bersama tiga ekor kucing lain. Namun kini, hanya Kaylee dan abangnya Merlin masih tinggal di pusat tersebut dan kedua-duanya dilaporkan sangat murung.

Merlin, 13 tahun, mengalami jangkitan saluran pernafasan dan tidak bermaya. Kaylee pula kelihatan lebih terkesan, dia enggan berinteraksi, memilih untuk menyendiri, serta kerap menjilat tubuhnya sendiri hingga bulu kakinya gugur akibat tekanan.

“Dia menghabiskan masa duduk di belakang kotak pasir, kepala ditekan ke dinding, seperti mahu ‘menghilang’,” kata wakil pusat perlindungan itu dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah mereka, suasana bising dan asing di pusat perlindungan sangat memberi kesan kepada kucing seusia Kaylee. Dari tempat tidur empuk dan manusia yang disayangi, dia kini terperangkap dalam sangkar besi.

Pihak pusat perlindungan turut memuat naik gambar dan video yang menunjukkan keadaan Kaylee yang menyentuh hati, dengan wajah lesu dan tubuh yang bersembunyi dari dunia luar.

“Dia tak perlukan banyak. Hanya rumah yang sunyi, tempat tidur yang selesa, dan seorang insan yang sanggup memberi peluang kedua. Kucing seperti Kaylee masih punya kasih sayang untuk diberi,” rayu mereka, berharap ada yang sudi menjadi penjaga sementara atau keluarga angkat untuk Kaylee.

Terbaru, pusat perlindungan mengesahkan kucing itu kini sudah pun dipelihara oleh keluarga angkat yang baharu. Ramai yang bersyukur dia akhirnya dapat kembali merasai kasih sayang.

Related Posts