Kedutaan Malaysia nasihat elak sempadan Thailand-Kemboja | The Reporter

Kedutaan Malaysia nasihat elak sempadan Thailand-Kemboja

Pejabat Kedutaan Malaysia di Bangkok
Gambar: Facebook Embassy of Malaysia, Bangkok

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kedutaan Besar Malaysia di Thailand menasihatkan kepada rakyat Malaysia agar mengelakkan perjalanan ke kawasan sempadan Thailand-Kemboja yang sedang bergolak. Kawasan yang terlibat termasuk Wat Ta Muen Thom, Wat Ta Kwai, Chong Bok, Preah Vihear, Chong An Ma dan Chong Chom.

Rakyat Malaysia yang berada di wilayah Ubon Ratchathani, Sri Saket dan Surin dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Mereka dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan teliti bagi mengelakkan kawasan pertikaian, mendapatkan bantuan daripada balai polis terdekat sekiranya perlu, serta mendaftar dengan Kedutaan Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan bantuan terkini.

Selain itu, rakyat Malaysia juga diminta mengikuti perkembangan semasa melalui pengumuman media tempatan dan kenyataan rasmi daripada pihak kedutaan, serta menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke kawasan berisiko.

Baca juga:
Rujuk maklumat sahih

Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau situasi semasa dan akan mengeluarkan kemas kini jika perlu. Rakyat Malaysia di Thailand digesa supaya sentiasa berwaspada dan merujuk kepada maklumat sahih dari masa ke masa.

Sekiranya berlaku kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di alamat Kronos Sathorn Tower, Unit No. 3-7, Aras 17, 46 North Sathorn Road, Silom, Bang Rak, Bangkok 10500. Talian kecemasan boleh dihubungi di nombor +66 67028 4659 atau melalui e-mel mwbangkok@kln.gov.my.

Terdahulu, tular mengenai konflik serangan antara Thailand dan Kemboja yang semakin memuncak di kawasan pertikaian sempadan bersama. Insiden tercetus apabila kedua-dua pihak menuduh satu sama lain memulakan serangan. Thailand kemudiannya menutup semua pintu sempadan darat dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara kini diturunkan ke tahap terendah.

Related Posts