Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketegangan di sempadan Thailand dan Kemboja semakin membimbangkan apabila kedua-dua negara bertempur pada Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang awam dan mencederakan lebih 14 lagi.
Insiden tercetus apabila kedua-dua pihak menuduh satu sama lain memulakan serangan. Thailand kemudiannya menutup semua pintu sempadan darat dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara kini diturunkan ke tahap terendah.
Menurut Tentera Thailand, kebanyakan mangsa terbunuh di wilayah Si Sa Ket apabila tembakan dilepaskan ke arah sebuah stesen minyak. Mereka juga mengesahkan telah melancarkan serangan udara terhadap sasaran ketenteraan di Kemboja. Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa jet pejuang Thailand turut mengebom kawasan jalan berhampiran kuil purba Preah Vihear.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri berkata pertempuran berlaku di sekurang-kurangnya enam lokasi sepanjang sempadan, termasuk berhampiran kuil purba Ta Muen Thom di Surin dan Oddar Meanchey.
Rakaman video dari pihak Thailand menunjukkan orang awam melarikan diri dan berlindung di dalam bunker konkrit ketika letupan berlaku.
Kementerian Luar Thailand dalam kenyataan mendakwa Kemboja menyerang sasaran awam termasuk hospital.
“Kerajaan Diraja Thailand menggesa Kemboja menghentikan serangan dan sebarang pelanggaran kedaulatan Thailand. Kami bersedia mempertahankan diri mengikut undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Nikorndej Balankura.
Sebaliknya, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menegaskan negaranya hanya bertindak balas terhadap pencerobohan bersenjata dan tetap berpegang kepada penyelesaian secara aman.
Krisis memuncak
Krisis ini memuncak selepas letupan periuk api di kawasan sempadan pada Rabu yang mencederakan lima anggota tentera Thailand. Susulan insiden itu, Thailand mengusir Duta Kemboja dan menarik pulang dutanya di Phnom Penh, manakala Kemboja membalas tindakan sama pada Khamis.
Pihak tentera Thailand mendakwa pertempuran bermula apabila dron tidak berperisai dikesan di udara, disusuli kemunculan enam askar Kemboja bersenjata. Usaha menenangkan keadaan gagal apabila tembakan dilepaskan oleh pihak Kemboja. Namun, Kemboja menegaskan mereka hanya mempertahankan diri selepas Thailand melanggar sempadan.
Kedutaan Thailand di Phnom Penh turut menasihatkan rakyatnya supaya meninggalkan Kemboja dan menangguhkan perjalanan yang tidak penting.
Baca juga:
- Wanita dipecat kerana datang kerja terlalu awal, saman majikan
- Mahkamah Beijing arah MAS bayar RM1.9 juta setiap keluarga mangsa MH370
- Pegawai Daerah Aceh Selatan dipecat, tunai umrah ketika banjir besar melanda
Perselisihan sempadan antara Thailand dan Kemboja telah berlarutan selama beberapa dekad, terutama berkaitan kuil Preah Vihear yang menjadi punca utama ketegangan. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengiktiraf kedaulatan Kemboja ke atas kawasan itu pada 1962, dan mengulangi pendirian sama pada 2013, namun keputusan itu kekal mencetuskan ketidakpuasan di pihak Thailand.
Konflik ini turut memberi kesan kepada politik domestik Thailand apabila Perdana Menterinya digantung tugas susulan dakwaan pelanggaran etika berkaitan isu sempadan ini.
Sumber: AP








