Kebakaran kilang di Kulai, lima sekolah diarah tutup | The Reporter

Kebakaran kilang di Kulai, lima sekolah diarah tutup

Anggota bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran kilang di Sengkang, Kulai yang masih aktif setakat pagi.
Gambar: Facebook Teo Nie Ching

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kebakaran sebuah kilang di kawasan Sengkang di Kulai, Johor masih belum dipadam sepenuhnya apabila api dikesan masih aktif setakat ini.

Susulan kejadian itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai mengarahkan penutupan sementara serta penangguhan sesi persekolahan membabitkan lima sekolah iaitu SJKC Sengkang, SJKC Kulai Besar, SK Taman Kota Kulai, SA Taman Kota Kulai dan SK Taman Kota Kulai 2, dengan murid terlibat menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga Jumaat.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, pihak bomba kini giat meneruskan operasi pemadaman bagi memastikan kebakaran berkenaan dapat dikawal sepenuhnya.

“Berdasarkan maklumat terkini setakat awal pagi ini, terdapat api yang masih dikesan aktif dan pihak bomba sedang giat melaksanakan operasi pemadaman,” katanya.

Baca juga:

Terdahulu, memetik laporan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin memaklumkan dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), iaitu SJKC Sengkang dan SJKC Kulai Besar diarahkan tutup, melibatkan seramai 1,531 murid yang perlu mengikuti PdPR.

Langkah itu diambil berikutan masih terdapat asap dan bau pembakaran di kawasan sekitar yang berisiko menjejaskan kesihatan warga sekolah sekiranya sesi persekolahan diteruskan dalam keadaan semasa.

Setakat pagi ini, operasi pemadaman yang melibatkan 34 anggota bomba dilaporkan telah mencapai tahap 90 peratus.

Related Posts