Kanak-kanak 2 tahun dicampak berulang kali ke dalam kolam hingga maut - The Reporter

Kanak-kanak 2 tahun dicampak berulang kali ke dalam kolam hingga maut

kanak-kanak 2 tahun dicampak ke dalam kolam
Daxton Ray Bull bersama ibunya | Foto: Daily Mail

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Daxton Ray Bull, maut selepas dicampakkan berulang kali ke dalam kolam renang oleh teman lelaki ibunya di Arkansas, Amerika Syarikat, pada 17 Jun 2024.

Lapor Daily Mail, kes ini kembali mendapat perhatian selepas hasil bedah siasat yang diumumkan pada 14 Oktober 2024 mengesahkan mangsa mengalami kecederaan serius akibat penderaan fizikal.

Teman lelaki ibunya, Dakota Shawn Hays, 29 tahun, dan ibu mangsa, Annastacia Atkins, 24 tahun, baru ditahan pada 13 Januari 2025 dan didakwa atas tuduhan pembunuhan serta penderaan kanak-kanak.

Menurut siasatan, Hays didakwa mencampak Daxton ke dalam kolam renang berulang kali walaupun kanak-kanak itu menangis meminta dihentikan. Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang turut berada di tempat kejadian memaklumkan kepada polis, Hays memaksa Daxton menyelam ke dasar kolam untuk mengambil barang.

Ketika kejadian, Atkins dilaporkan sedang berehat di dalam rumah sebelum Hays memberitahunya bahawa Daxton tidak bernafas. Atkins cuba memberi bantuan pernafasan kepada anaknya yang dalam keadaan menggigil, namun mangsa meninggal dunia tiga hari kemudian akibat kekurangan oksigen ke otak.

Hasil bedah siasat juga menunjukkan Daxton mengalami pelbagai kecederaan termasuk lebam pada muka, luka pada badan, serta trauma tumpul yang tidak konsisten dengan kecederaan kemalangan biasa.

Beberapa kanak-kanak di tempat kejadian turut memberitahu bahawa Hays sering bertindak kasar terhadap Daxton, termasuk memukulnya menggunakan kayu sehingga meninggalkan kesan lebam.

Atkins dikenakan bon sebanyak $750,000 (RM3.3 juta) atas tuduhan membenarkan penderaan, manakala Hays dikenakan bon $1 juta (RM4.4 juta) atas tuduhan pembunuhan dan membahayakan keselamatan kanak-kanak.

Kes ini menjadi perhatian awam selepas ulang tahun ketiga kelahiran Daxton minggu lalu, yang disambut dengan ucapan takziah dan luahan kesedihan daripada keluarga serta kenalan. Sebuah halaman GoFundMe juga diwujudkan untuk membantu membiayai kos pengebumian dan perbelanjaan guaman bagi mendapatkan keadilan buat mangsa.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!