Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Buri Ram, Thailand, kini dalam keadaan kritikal selepas mengalami kerosakan paru-paru yang hampir menyeluruh akibat vaping sejak dua tahun lalu. Keluarganya hanya menyedari tabiat buruk itu selepas dimaklumkan oleh pihak sekolah.
Nenek mangsa, Ae, terkejut apabila guru di sekolah cucunya di Tambon Don Mon, daerah Satuek, memberitahu tentang keadaan kesihatan cucunya yang serius akibat vaping. Menurut Ae, cucunya sebelum ini seorang yang rajin dan bertanggungjawab, tetapi mula berubah semenjak memasuki Darjah 4. Dia sering keluar rumah dengan alasan mengulang kaji pelajaran bersama rakan, namun sebenarnya terlibat dengan vaping.
Lapor The Nation, kes ini mendapat perhatian selepas seorang petugas penyelamat, Paphawarin Simlakorn, mendedahkannya di Facebook untuk memberi amaran kepada ibu bapa mengenai bahaya vaping dalam kalangan remaja.
Paphawarin juga mendedahkan bahawa sebelum ini, tiga pelajar lain – seorang murid Tahun 5, Tahun 6, dan pelajar Tingkatan 2 – telah dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas dan sakit dada selepas vaping. Malah, seorang pelajar berusia 15 tahun di kawasan yang sama dilaporkan meninggal dunia pada Januari lalu akibat penggunaan rokok elektronik yang berpanjangan.
Dalam kes terbaru, kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Satuek selepas mengalami sesak nafas, muntah-muntah, dan kelemahan melampau. Pemeriksaan doktor mendapati hampir 100% paru-parunya rosak akibat kesan vaping, dan dia kini memerlukan ventilator untuk bernafas.
Pihak berkuasa menggesa ibu bapa agar lebih peka dengan perubahan tingkah laku anak-anak dan memantau aktiviti mereka, terutama apabila kes vaping dalam kalangan remaja semakin meningkat. – Agensi








