Program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) musim ke-10 minggu lalu dicemari dengan beberapa kenyataan kurang menyenangkan daripada pengacaranya yang didakwa mempermainkan nama bapa vokalis kumpulan Caliph Busker, Azmi Saat.
“…Jihan buat lawak pasal Azmi Saat; “Kalau satu Azmi, Azmi Saat. Kalau 60 Azmi, jadi Azmi apa? Azmi Minit”.
“Kesian Azmi Saat, dah diuji dengan OKU pengelihatan, nama bapa dia pula dibuat main,” kata netizen di media sosial.
Selain itu, Jihan turut berkata, “Nak tanya Azmi, datang ke sini naik apa? Memandu ka?” yang dilihat seolah-olah mempersenda Azmi yang cacat penglihatan.
Jihan mohon maaf kepada Azmi
Tindakan Jihan itu mengundang kecaman netizen yang menganggap kata-katanya itu mempersenda nama bapa Azmi. Sedangkan perkara itu tidak sewajarnya dilakukan, lebih-lebih lagi dalam siaran langsung yang ditonton seluruh rakyat Malaysia.
Sedar dengan kecaman itu, Jihan hari ini tampil mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada Azmi Saat menerusi hantaran di Instagramnya.
“Saya telah berhubung dan memohon maaf secara peribadi dengan beliau pada Isnin lalu.
“Tiadalah saya berniat untuk mempermainkan nama dan menghina seperti yang diperkatakan. Namun saya akui, ia adalah kesilapan dari saya sendiri kerana tidak peka dan sensitif. Begitu juga dengan gurauan yang tidak bersesuaian yang telah dibuat. Ia tidak patut berlaku pada sesiapa pun.
“…ini adalah pengajaran buat saya untuk lebih peka dan berhati-hati. Saya terima segala teguran. Segala yang buruk dari kekhilafan saya sendiri. Diharap perkara seperti ini tidak berulang lagi baik dari saya atau sesiapa pun. Ia bukan perkara yang boleh dinormalisasikan,” katanya.
Azmi tidak tersinggung, tetapi..
Sementara itu, Azmi memaklumkan dia tidak tersinggung dengan gurauan tersebut. Tetapi menjelaskan sensitiviti masyarakat juga perlu diambil kira supaya tidak menyinggung orang awam.
“Waktu mula-mula Jihan cakap tu, saya berada di belakang pentas dan dapat merasakan impak di sebalik gurauan itu. Pernah terjadi sebelum ini apabila nama ayah dibawa main, maka terus jadi kecoh.
“Tapi dalam hati saya tiada rasa marah atau apa sebab memang saya kenal Jihan. Malah, Jihan juga ada menghantar mesej kepada saya memohon maaf mengenai kesilapannya itu.
“Cuma kita perlu belajar juga, gurauan sebegitu memang sensitif dalam masyarakat kita. Malah setiap orang bangga dengan nama ayah. Jadi, jika dibawa main, orang memang kurang suka,” katanya.
Sumber: Instagram Jihan, Harian Metro