Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Drama bersiri Surat Dari Tuhan sebelum ini menerima banyak kecaman netizen dan pernah ditegur oleh pendakwa agama susulan video trailer awal menunjukkan dialog yang dituturkan dilihat tidak sesuai, lebih-lebih lagi ketika berada di tanah suci.
Rentetan kecaman itu, pada hari pertama drama itu ditayang, ada diselitkan peringatan ringkas bahawa drama itu mungkin menyentuh sedikit sensitiviti penonton.
Bagi mereka yang mengikut drama ini, sudah pastinya timbul rasa geram melihat watak Misha, yang dilakonkan oleh Janna Nick. Misha dilihat tidak begitu menggemari dan sering mengasari ibu mertuanya (Sheila Mambo).
Babak Misha tendang ibu mertua undang kemarahan ramai
Semalam, Janna Nick memuat naik klip video yang menunjukkan Misha menolak ibu mertuanya sehingga terjatuh dan bijiran yang dipegang turut berterabur di lantai. Dalam masa sama, Misha mengambil kesempatan menolak kepala dan menendang bahu ibu mertuanya.
Tindakannya itu mengundang kemarahan ramai dan sekali gus membuatkan ruangan komen dihujani pelbagai komen yang ditujukan terhadap Misha. Tidak kurang juga ada yang meluahkan rasa geram terhadap Janna walaupun tahu babak itu hanyalah lakonan semata-mata.
Berdasarkan episod 14 yang ditayangkan pada malam semalam, babak Misha mengasari ibu mertuanya tidak ditayangkan kepada umum. Berkemungkinan telah dipotong atas sebab-sebab tertentu.
Sheila Mambo minta netizen bertenang, jangan marah Janna
Sementara itu, Sheila Mambo juga tampil menggesa netizen tidak mengecam Janna Nick disebabkan babak itu. Sebaliknya, menjelaskan babak itu tidak dirancang.
“MashAllah. Jangan marah Janna. Sebaik sahaja scene ini dicut, Janna terus datang peluk saya dan minta maaf berkali-kali. Dia pun tak planning nak buat macam ni. Saya pun sudah memaafkan dia.
“Realiti kehidupan, ada sahaja anak-anak yang derhaka pada orang tua mereka secara terang dan halus. Semoga scene ini menjadi iktibar kepada semua penonton.
“Jangan kecam Janna, dia anak yang baik. Semasa saya tidak sihat di Mekah, dia yang jaga makan minum saya. Waktu tawaf sunat, dia dan PA dia banyak menjaga saya,” katanya menerusi hantaran di Instagram.