Pelakon Nina Fazurina meluahkan kesedihan atas pemergian sahabat baiknya, pelakon Lydia Ibtisam yang meninggal dunia selepas berdepan komplikasi kesihatan.
Menerusi hantaran di media sosial, Nina menyifatkan Lydia sebagai sahabat yang sangat dekat dengannya, malah hubungan mereka terjalin bukan sekadar ketika menjayakan drama, tetapi turut berpanjangan di luar dunia seni.
Nina turut mengimbau kenangan mereka ketika bersama dalam drama Dunia Anita, yang menjadi titik pertemuan antara mereka sehingga hubungan itu berkembang menjadi sebuah persahabatan erat.
“Lydia sahabatku sayang… Dunia Anita menyatukan kita. Kita bukan setakat kawan dalam drama tapi juga in reality. Kita susah senang sama-sama suatu ketika dulu,” tulisnya.
Baca juga:
- ‘Eton’ saya dah takdak’- Nina Fazurina
- Lydia Ibtisam meninggal dunia
- Pelakon Lydia Ibtisam kritikal, Elliza Razak mohon doa kesembuhan
Menurut Nina, pemergian Lydia meninggalkan kesedihan yang mendalam, lebih-lebih lagi apabila mereka sudah lama tidak berkesempatan bertemu.
“Kini hang dah tak ada… Sedih sangat aku rasa. Lama sangat kita tak jumpa. Tenanglah hang di sana… Aku akan kenang memori kita sampai bila-bila.
“Aku sayang hang dunia akhirat. Insya-Allah, kita jumpa nanti di syurga,” ujarnya.
Lydia dilaporkan meninggal dunia pada pukul 4 petang Khamis selepas mengalami komplikasi kesihatan akibat penyakit autoimun. Berita pemergian pelakon itu turut mengundang ucapan takziah daripada rakan-rakan industri hiburan dan peminat.









