Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijatuhi hukuman penjara selama lima minggu selepas didapati bersalah atas kesalahan menghina mahkamah berhubung kenyataannya berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Memetik laporan Sinar Harian, keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding yang berlangsung pada Rabu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan bekas Ketua Menteri Sabah itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkenaan didengar di Mahkamah Tinggi.
Baca juga:
- Anwar respons kritikan Hadi terhadap CSA
- Sultan Pahang gesa kerajaan nilai semula operasi UNHCR di Malaysia
- AGC fail permohonan semakan keputusan bebas Da’i Syed
Dengan penangguhan tersebut, hukuman penjara yang dikenakan ke atas Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, tidak akan dilaksanakan serta-merta sehingga proses rayuan selesai.
Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan sekiranya disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Dalam kes ini, hukuman yang dikenakan adalah kurang daripada tempoh yang ditetapkan oleh Perlembagaan, selain pelaksanaannya turut ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.








