'Karya perlu selari dengan panduan Islam' - JAKIM tegur penerbit Bidaah | The Reporter

‘Karya perlu selari dengan panduan Islam’ – JAKIM tegur penerbit Bidaah

Drama Bidaah
JAKIM tegaskan, sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah, dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Susulan drama bersiri Bidaah mencetuskan pelbagai kontroversi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan pertemuan di antara pihak produksi dengan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam, JAKIM bagi meneliti kandungan drama tersebut.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata JAKIM telah membuat teguran dan memberikan penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah, dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam.

“Pihak penerbit akur dengan teguran dan bersedia untuk memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarkat.

“JAKIM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan para seniman dan karyawan dalam menghasilkan kandungan yang bermanfaat serta mematuhi garis panduan agama. JAKIM juga menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam, yang dikeluarkan pada tahun 2015, merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan Islam tidak menolak kesenian, bahkan mengiktirafnya sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat. Namun, seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan, dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan nilai dan etika.

Terdahulu, drama bersiri Bidaah mencetuskan kontroversi apabila babak yang dilakonkan oleh Vanidah Imran menyentuh janggut Faizal Hussein menggunakan kaki dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum.

Related Posts