Isu pelekat logo halal pada meja makan: MBPP ambil tindakan, beri amaran | The Reporter

Isu pelekat logo halal pada meja makan: MBPP ambil tindakan, beri amaran

Pelekat logo halal pada meja makan di premis makanan di Pulau Pinang
Gambar: Facebook MBPP

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial Facebook berhubung penggunaan meja di premis makanan di negeri ini yang didakwa menjadi alat pengasingan antara pelanggan Muslim dan bukan Muslim.

MBPP dalam kenyataannya menegaskan bahawa insiden atau sebarang pelaksanaan berkaitan perkara tersebut tidak pernah berlaku di mana-mana premis makanan, pasar awam atau kompleks makanan yang berada di bawah seliaan serta pengurusan pihak berkuasa tempatan itu. MBPP turut menjelaskan bahawa perkara berkenaan tidak pernah termaktub dalam mana-mana dasar atau polisi rasmi majlis.

“Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengambil maklum tentang isu tular di laman media sosial Facebook berhubung table is the latest tool use to segregate the people (Muslim and non Muslim) in Penang Taman Free School MBPP Medan Selera and Kopi Tiam at Terengganu Road, Penang.

“MBPP ingin menegaskan dan menafikan sekeras-kerasnya bahawa insiden atau pelaksanaan tersebut berlaku di mana-mana premis makanan, pasar awam, atau kompleks makanan di bawah seliaan dan pengurusan MBPP,” katanya.

Baca juga:

Menurut MBPP, hasil siasatan yang dijalankan di lokasi terbabit di Jalan Terengganu mendapati bahawa sebuah gerai burger baharu yang beroperasi di dalam premis kedai makanan swasta telah melekatkan logo halal pada tiga buah meja yang diperuntukkan khas kepada pelanggan gerai tersebut. Tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan penggunaan meja berkenaan oleh pelanggan yang menikmati makanan tidak halal.

Susulan itu, MBPP melalui Jabatan Pelesenan telah mengambil tindakan dengan memberi nasihat serta amaran kepada pengusaha terlibat supaya tidak menggunakan logo halal tanpa kelulusan serta tidak meletakkan sebarang pelekat yang boleh menimbulkan isu sensitiviti atau perkauman. Pemilik premis juga dilaporkan akur dan telah menanggalkan semua pelekat tersebut dengan segera.

MBPP menegaskan bahawa sebagai pihak berkuasa tempatan, mereka sentiasa berpaksikan dasar Kerajaan Negeri yang inklusif, dengan keutamaan diberikan kepada keharmonian, sensitiviti serta keselesaan seluruh warga kota yang berbilang kaum dan agama.

Related Posts