Inspektor Sheila ditahan kerja, 8 kertas siasatan telah dibuka - Menteri | The Reporter

Inspektor Sheila ditahan kerja, 8 kertas siasatan telah dibuka – Menteri

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Inspektor Sheila yang menimbulkan kekecohan di media sosial minggu lalu telah ditahan kerja sejak seminggu lalu.

Dua kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Rakaman percakapan pegawai polis wanita itu juga telah diambil pada 18 Jun lalu dan kini kedua-dua kertas siasatan itu telah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman.

Dalam pada itu, sebanyak enam kertas siasatan tatatertib telah dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Terdahulu tularnya video Inspektor Sheila menengking anggota bawahan yang dikatakan tidak layak meminta kad pengenalan dan kad kuasanya, dalam kejadian di Gombak.

Tidak beberapa lama kemudian, tular pula video Inspektor Sheila berada di tempat letak kenderaan di sebuah pusat beli-belah, bertengkar dengan orang awam hanya kerana perselisihan faham yang remeh.

Selepas dibebaskan dengan jaminan, Inspektor Sheila sekali lagi dikesan memperlekehkan anggota bawahan semasa berada di balai polis, sambil diperhatikan oleh anggota lain.

Sumber: Harian Metro

Related Posts