Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki Argentina, Maximiliano Acosta, mengalami detik hitam apabila ditahan pihak berkuasa selama 21 hari selepas mereka menyangka 18 bekas serbuk talkum yang dibawanya adalah dadah jenis kokain.
Kejadian ini berlaku pada awal Oktober apabila Maximiliano menaiki bas dari Mendoza menuju ibu negara, Buenos Aires.
Ketika bas tersebut berhenti di La Paz untuk pemeriksaan rutin, pihak Gendarmerie menemui 18 bekas serbuk talkum dalam bagasinya. Walaupun Maximiliano menjelaskan ia hanyalah serbuk talkum untuk kegunaan peribadi, pihak berkuasa tetap menahannya atas dakwaan memiliki dadah. Malah, ujian awal mendakwa bekas tersebut mengandungi 2.44 kilogram kokain.
Kejadian ini mendapat perhatian meluas apabila Menteri Keselamatan Argentina, Patricia Bullrich, memuat naik mengenai penahanan itu di media sosial.
“Seorang lelaki cuba menyeludup lebih 2kg kokain yang disembunyikan dalam bekas talkum menggunakan bas jarak jauh. Namun, pihak Gendarmerie berjaya menahannya hasil pemerhatian terhadap tingkah laku mencurigakannya,” tulisnya.
Maximiliano mendakwa pihak polis tidak memaklumkan kepada keluarganya tentang penahanan tersebut, menyebabkan mereka buntu mencari lokasi Maximiliano selama dua hari. Lebih menyedihkan, barang-barang peribadinya dilaporkan hilang ketika beliau berada dalam tahanan.
Selepas desakan Maximiliano, serbuk putih itu dihantar ke makmal lain untuk analisis buat kali kedua. Keputusan baharu mengesahkan bahan tersebut hanyalah serbuk talkum, bukan kokain.
Maximiliano kemudian dibebaskan, namun bukan di tempat yang sesuai. Beliau ditinggalkan di tepi jalan dan terpaksa menumpang kenderaan untuk pulang kediamannya.
Jurucakap Gendarmerie menganggap penahanan itu sebagai kesilapan biasa.
“Tiada kesalahan dalam penyiasatan ini. Serbuk talkum sering disalah anggap sebagai kokain sehingga terbukti sebaliknya,” kata Patricia Bullrich.
Sementara itu, keluarga Maximiliano menjelaskan 18 bekas serbuk talkum itu dibawa untuk dijual di ibu negara kerana kesempitan hidup. Kejadian ini menjadi pengajaran penting di mana, barangan yang kelihatan biasa juga boleh mencetuskan salah faham besar. – Agensi