Seorang wanita tergamak menikam anak perempuannya berusia 11 tahun sehingga mati, empat hari sebelum ulangtahun kelahirannya kerana mahu menghalang mangsa dari melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Rosa Alcides Rivera kemudian membawa anaknya ke hospital dan memaklumkan, “anak saya sudah mati”.
Laporan bedah siasat mendapati terdapat 15 kesan tikaman di belakang badan mangsa dan luka di tangan kanannya.
Polis di Orlando, Florida, berkata, Aleyda Rivera mati akibat ditikam dan ibunya berdepan dengan dakwaan membunuh anaknya sendiri.
Dipercayai, ketika kakitangan hospital melihat mayat mangsa, mereka memaklumkan Rivera bahawa sudah terlambat dan tiada apa yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan Aleyda.
Suspek berusia 28 tahun itu kemudian bertengkar dengan kakitangan hospital dan mengeluarkan pisau yang dibawanya. Tetapi pegawal keselamatan dan anggota polis berjaya menahannya.
Bagaimanapun setelah disiasat, suspek mengaku membunuh anaknya kerana mahu menghalangnya dari melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Menurut penyiasat, insiden itu bermula pada Ahad lalu ketika Rivera membawa anaknya ke rumah seorang lelaki tempatan dan mendakwanya telah melakukan hubungan seks dengan anaknya.
Namun Rivera berkata dia tidak nampak Aleyda melakukan perkara itu dengan lelaki terbabit, malah mangsa tidak memberitahunya yang dia melakukan hubungan kelamin.
Saksi berkata, mangsa menafikan dakwaan ibunya dan tiada bukti yang dapat menyokong dakwaan Rivera itu dan siasatan masih dijalankan.
Dalam laporan penahanan mengatakan, Rivera pada awalnya menafikan dakwaan menikam Aleyda sebelum mengaku membunuhnya.
Rivera berkata, dia menikam anaknya dalam kereta. Rivera juga percaya anaknya kini berada di syurga.
Sumber: Mirror