Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak memaklumkan, tiada kebenaran polis bagi program ‘Himpunan Patriotik Rakyat’ yang dijadual berlangsung pada 16 November ini pada jam 5 petang.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 11 November lalu untuk mengadakan perhimpunan dan mengibarkan jalur gemilang di Menara Teluk Intan.
Susulan itu, pihak polis telah menampal satu notis pemberitahuan berhubung program tersebut di kawasan Menara Condong Teluk Intan bagi mendapatkan pandangan orang awam di sekitar kawasan perhimpunan yang akan diadakan itu.
“Hasil pemakluman notis berkaitan penganjuran perhimpunan ini, pihak polis telah menerima maklum balas daripada pemunya Dataran Menara Condong Teluk Intan iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
“Pihak MPTI tidak memberi kebenaran kepada penganjur mengadakan perhimpunan tersebut atas faktor ketidaksesuaian tempat perhimpunan,” katanya.
Jelasnya lagi, pihak penganjur didapati gagal mengemukakan persetujuan pemilik tempat berhimpun iaitu MPTI seperti mana dinyatakan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012.
Susulan itu, pihak polis tidak dapat memproses permohonan pihak penganjur untuk tindakan selanjutnya.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai perhimpunan yang dirancang diadakan pada 16 November ini oleh pihak penganjur bagi mengelak diambil tindakan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Mohon kerjasama semua pihak untuk menghormati undang-undang dan menjaga kententeraman awam demi keselamatan serta keamanan masyarakat di sini,” katanya.