Guru lempang & tolak murid hanya kerana tidak berdiri tegak semasa perhimpunan | The Reporter

Guru lempang & tolak murid hanya kerana tidak berdiri tegak semasa perhimpunan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Susulan isu seorang guru yang bertindak memukul murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPNT) mengesahkan tindakan awal sudah dijalankan.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPNT, Azman Othman @ Abdullah, berkata pihaknya tidak boleh memberi sebarang kenyataan kerana kes itu masih dalam siasatan.

“Kita mengesahkan tindakan awal sudah dilakukan selepas menyaksikan video yang ditularkan melalui Facebook (FB) berdurasi 41 saat seorang guru memukul kepala dan menolak seorang murid di sekolah itu.

“Kita difahamkan kejadian itu dikatakan berlaku di dewan perhimpunan ketika perhimpunan diadakan sempena program cegah rokok dan vape, kira-kira jam 10 pagi, semalam,” katanya.

Tidak berdiri tegak semasa perhimpunan

Difahamkan, guru berkenaan bertindak demikian terhadap murid tersebut atas kesalahan tidak berdiri tegak semasa perhimpunan diadakan.

Guru yang merakamkan video itu dikatakan tidak bersetuju dan kurang senang dengan tindakan dan kaedah pentadbiran sekolah berkenaan.

Seorang guru yang enggan namanya disiarkan berkata, dua murid lelaki yang hanya melakukan kesalahan tidak berdiri tegak dipukul guru berkenaan pada perhimpunan.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum mengenai video tular itu dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, KPM menasihatkan warga pendidik mematuhi etika dan bersikap profesional ketika menjalankan tugas sebagai seorang guru.

Sumber: Berita Harian

Related Posts