Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi surat rasmi bertarikh 21 Oktober 2023 memaklumkan akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin bermula 29 Oktober 2023 hingga 3 November 2023 sebagai tanda kebersamaan warga KPM dalam menyokong kemanusiaan sejagat.
Sepanjang minggu tersebut, berbagai-bagai acara yang akan dijalankan termasuklah pelancaran tabung kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin.
Namun begitu, belum lagi program ini berjalan, satu video tular yang memaparkan gelagat beberapa orang guru sedang menjalankan program yang berkait dengan solidariti terhadap Palestin dikecam ramai.
Seorang guru lelaki berpakaian seperti seorang pejuang sambil memegang senapang dan beraksi seperti berada di medan perang. Tidak terkecuali seorang guru wanita turut berbuat demikian. Manakala guru-guru yang lain dilihat hanya melaungkan solidariti buat Palestin.
Netizen menganggap ‘pertunjukan’ tersebut seolah menambahkan bibit-bibit keganasan kepada anak-anak murid.
Ujar netizen, guru-guru sepatutnya memainkan peranan penting dalam menerapkan isu kemanusiaan ini kepada murid-murid bukannya seolah menggambarkan dalam bentuk keganasan.
Sumber: Klutzy, Malaysia Kini, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia