Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Suasana tenang para jemaah haji di sebuah hotel bertingkat di Mekah bertukar cemas apabila sistem penggera kebakaran diaktifkan, berpunca daripada tindakan empat jemaah haji warga Indonesia yang didapati merokok dalam bilik.
Kejadian yang berlaku pada malam Ahad itu menyebabkan kekecohan besar, terutama di tingkat 19 hotel berkenaan yang dihuni ramai jemaah warga emas. Rakaman insiden yang dimuat naik di platform X menunjukkan keadaan panik apabila siren berbunyi dan jemaah tergesa-gesa keluar dari bilik masing-masing.
“Baru berlaku sebentar tadi. Dah tahu tingkat tinggi, tapi masih merokok dalam bilik,” tulis seorang pengguna media sosial yang berkongsi video tersebut.
Video tular itu memaparkan suasana cemas di tingkat 19 apabila para jemaah bergegas keluar dari bilik dan ada yang masih berpakaian tidur. Warga emas pula kelihatan panik, malah ada yang menangis kerana tidak mampu menuruni tangga dari tingkat atas.
Asap rokok aktifkan sistem penggera hotel
Siasatan awal mendapati sistem pengesan asap di bilik hotel telah mengesan kepulan asap rokok, lalu secara automatik mengaktifkan penggera kebakaran. Pihak hotel yang menjalankan pemeriksaan kemudian mendapati tiada kebakaran berlaku.
Namun tindakan merokok di dalam bilik dianggap melanggar peraturan hotel dan protokol keselamatan yang sangat penting, terutamanya dalam bangunan bertingkat tinggi.
Belum ada kenyataan rasmi, tapi netizen kecam tindakan pelaku
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan haji Indonesia atau pengurusan hotel Arab Saudi. Namun, kecaman daripada orang ramai di media sosial semakin memuncak.
“Antara syarat ibadah haji ialah berakal. Tapi ini jelas tak fikir panjang,” tulis seorang pengguna yang kecewa dengan insiden tersebut. – Agensi








