Pelakon Edika Yusof, 58, dan isterinya, Nor Hidayah Yusri, 47, sah bercerai talak satu pada jam 10.42 pagi ini selepas 22 tahun mendirikan rumah tangga.
Pasangan itu hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi sebutan ketiga kes perceraian yang difailkan Nor Hidayah pada Februari lalu.
Edika atau nama penuhnya Mohd Yusof Abd Majid bersetuju melafazkan cerai, dan mahkamah membenarkan permohonan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1986.
Terdahulu, pada 23 April, Edika tidak dapat melafazkan cerai kerana Nor Hidayah berada dalam keadaan tidak suci.
Penceraian ini menarik perhatian ramai memandangkan Edika sebelum ini sering dipuji kerana setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan sejak 19 tahun lalu akibat komplikasi selepas melahirkan anak kedua.
Pasangan ini berkahwin pada 2003 dan dikurniakan dua orang anak, Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20.
Sumber: Harian Metro








