Dua warga emas maut tersedak mochi semasa sambutan Tahun Baru | The Reporter

Dua warga emas maut tersedak mochi semasa sambutan Tahun Baru

Tersedak mochi Tahun Baru
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dua lelaki warga emas maut selepas tersedak mochi, kek beras tradisional yang sering dimakan semasa sambutan Tahun Baru 2025.

Walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran mengenai bahaya tersedak mochi, sembilan orang dilaporkan dimasukkan ke hospital di Tokyo dalam tiga hari pertama Januari kerana kejadian itu. Ini termasuk dua lelaki warga emas yang meninggal dunia..

Mangsa pertama, seorang lelaki berusia 70-an tersedak mochi di rumahnya di Itabashi, luar Tokyo, pada Hari Tahun Baru, manakala seorang lagi mangsa berusia 80-an yang tinggal di Nerima, pinggir Tokyo, juga maut akibat kejadian yang sama.

Mochi adalah hidangan tradisional Tahun Baru di Jepun yang dimasak dalam sup ozoni. Ia adalah kek beras yang tebal dan kenyal, mudah terperangkap di tekak dan boleh menyebabkan lemas.

Setiap tahun pihak berkuasa mengeluarkan nasihat mengenai cara mengelakkan tersedak, antaranya memotong mochi menjadi saiz kecil dan makan bersama orang lain.

Namun, setiap tahun ramai yang terkorban, terutamanya dalam kalangan warga emas akibat lemas disebabkan mochi.

Menurut laporan Jabatan Bomba Tokyo, antara 2019 hingga 2023, sebanyak 368 kes dimasukkan ke hospital akibat tersedak mochi atau objek lain, dengan lebih 90% mangsanya berusia 65 tahun ke atas.

Pada 2022, empat wanita warga emas meninggal dunia selepas memakan kek beras ini, manakala 12 lagi dimasukkan ke hospital. Pada 2001, seorang wanita dipuji selepas menyelamatkan bapanya yang berusia 70 tahun dengan menggunakan penyedut sampah untuk mengeluarkan mochi yang tersekat di mulutnya. = Agensi

Related Posts