Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad sedang meneliti tindakan perundangan yang boleh diambil susulan penularan video di media sosial dan laporan yang mengaitkan beliau dengan dakwaan menampar seorang pelajar semasa satu program di Janda Baik, Pahang, bulan lalu.
Menurut beliau, dakwaan tersebut timbul menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok @nikalifaiman.ariffahmi yang juga merupakan cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat serta artikel yang diterbitkan Harakah Daily pada 1 Jun 2026, selain laporan polis yang mendakwa beliau terlibat dalam insiden berkenaan ketika Program Pemerkasaan Bangsa Pemimpin Pelajar dan Pengurusan Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) pada 20 Mei lalu.
Azhar berkata, beliau amat berdukacita dengan isu yang timbul dan kini sedang mendapatkan nasihat perundangan bagi menentukan kesahihan fakta serta implikasi undang-undang berkaitan dakwaan tersebut.
“Saya sedang meneliti dan mendapatkan nasihat perundangan berhubung perkara tersebut bagi menentukan kesahihan fakta serta implikasi undang-undang yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga:
- Dikaitkan insiden tampar pelajar, Azhar pertimbang tindakan undang-undang
- Majlis hari lahir tema perkampungan bunian: Usahawan disiasat JAHEIK
- Kes fitnah dan salah guna kuasa: Polis ambil keterangan Azam Baki
Beliau turut memaklumkan tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan saluran undang-undang yang tersedia sekiranya terdapat asas yang kukuh serta bukti mencukupi bahawa mana-mana pihak telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Menurutnya, tindakan itu termasuk terhadap sebarang perbuatan fitnah, penyebaran maklumat palsu atau apa-apa tindakan yang boleh menjejaskan reputasi serta kepentingannya.
Terdahulu, seorang mahasiswa, Nik Alif Aiman dilaporkan membuat laporan polis selepas mendakwa ditampar oleh seorang ahli politik dalam satu program di Janda Baik, Pahang.
Bagaimanapun Azhar menafikan dakwan itu dan menjelaskan perkara sebenar.









