Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Syarikat CBW Watersport hari ini tampil membuat laporan polis terhadap pempengaruh berasal dari Sarawak yang menularkan insiden bayar ganti rugi kerosakkan jetski, walaupun dia sendiri telah mengaku bersalah dan bersetuju membayar pampasan itu.
Pemilik syarikat, Rotna Fairi Rahani, 45, mengakui terkilan dengan tindakan Ngek Tsai atau nama sebenar Zameen Saini yang menularkan kejadian yang berlaku pada Ahad lalu.
“Dia mengaku melakukan kesalahan selepas menyebabkan perlanggaran dua jetski yang digunakannya bersama rakan.
“Perbincangan turut mencapai kata sepakat apabila dia bersetuju membayar RM13,000 walaupun jumlah pampasan sebenar adalah RM15,000,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurut Rotna, Ngek Tsai telah menandatangani borang idemniti yang menetapkan beberapa syarat termasuk bersetuju membayar pampasan sehingga RM20,000 sekiranya berlaku sebarang kerosakan pada jetski.
Malah, Rotna turut mempunyai bukti dalam bentuk video di mana Ngek Tsai mengaku kesalahannya dan bersetuju membayar pampasan tersebut.
Kesal dengan tindakan Ngek Tsai menularkan insiden itu, Rotna telah membuat laporan polis dan menuntut pempengaruh itu memadamkan hantaran tersebut dan memohon maaf kepada pihaknya secara terbuka.
Sekiranya gagal berbuat demikian, CBW Watersport akan mengambil tindakan undang-undang.








