Hasrat seorang pempengaruh bercuti dengan tenang bersama rakannya di Pulau Langkawi tidak kesampaian apabila dia terpaksa mengeluarkan wang sebanyak RM13,000 untuk membayar kerosakan Jetski.
Pempengaruh berasal dari Sarawak itu, NgekTsai, dalam hantarannya di Facebook semalam berkata, segalanya bermula apabila dia menyewa jetski dari sebuah syarikat tempatan.
Jujur dan akui kesilapan
“Dipendekkan cerita, terjadinya kemalangan disebabkan kecuaian saya sendiri yang menyebabkan satu bahagian jetski itu pecah.
“Atas dasar kejujuran, saya mengakui kesilapan itu dan Alhamdulillah pihak berkenaan menerima pengakuan itu dengan baik tanpa meninggikan suara atau berkasar. Malah diberikan sebuah jetsi baru untuk menghabiskan baki masa untuk bermain,” katanya.
Selesai bermain, Ngektsai berbincang dengan pihak berkenaan mengenai kos ganti rugi yang perlu dibayar. Namun terkedu apabila dimaklumkan jumlah ganti rugi adalah RM15,000.
Dia kemudian cuba merayu agar jumlah ganti rugi itu dapat dikurangkan dan pihak berkenaan bersetuju dan menetapkan RM13,000 sebagai angka terakhir.
Tuntut bayaran segera
Memandangkan tiada pilihan lain, Ngektsai akur dan meminta kebenaran untuk pergi ke bank berdekatan untuk mengeluarkan wang. Tetapi dihalang kerana dikhuatiri akan melarikan diri. Setelah berbincang, akhirnya dia dibenarkan pergi ke bank dengan syarat rakannya tinggal di premis berkenaan.
Setelah berjaya mengeluarkan wang sebanyak RM9,000, Ngektsai kembali dan menyerahkan wang tersebut. Baki RM4,000 akan dibayar esok kerana had pengeluaran telah mencapai had maksimum. Malangnya, pihak terbabit masih enggan melepaskan mereka dan menegaskan bayaran baki perlu dibayar segera.
Terdesak untuk mendapatkan baki wang tersebut, Ngektsai terpaksa meminta bantuan rakannya yang merupakan warga Langkawi untuk menyalurkan baki ganti rugi tersebut.
Selepas kejadian itu, Ngektsai kembali ke Sarawak dan membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan diri. Malah pempengaruh itu menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke pulau berkenaan untuk berhati-hati sebelum menggunakan sebarang perkhidmatan yang disediakan.
Dia turut berharap agar Menteri Pelancongan, Dato’ Sri Tiong King Sing memandang berat insiden yang berlaku terhadap dirinya, supaya tidak berlaku pada pelancong lain.