Susulan kenyataan beliau terhadap penyanyi Exists, Mamat, semasa program All Star Gegar Vaganza (All Stars GV) beberapa hari lalu mendapat kecaman ramai, pengacara Nabil Ahmad menegaskan maksud sebenarnya adalah, dia melihat Mamat sebagai seorang ‘legend’.
“Saya cakap dia berada di tempat tinggi bermaksud dia adalah seorang ‘legend’,” katanya.
Jelas Nabil, sebagai pengacara dia sentiasa berusaha untuk menghidupkan program popular itu dan memastikan setiap dikongsikan tidak menjatuhkan mana-mana pihak.
“Saya tidak akan bercakap perkara yang akan menjatuhkan air muka seseorang. Mamat adalah seorang ‘legend’ terkenal dalam dunia seni ini.
“Apa yang anda fikir tidak sama dengan maksud sebenar yang saya cuba sampaikan. Takkanlah dalam program siaran langsung saya nak cakap sesuatu yang boleh menghancurkan karier saya,” katanya.
Lebih berhati-hati
Menurut Nabil, pengalaman lalu telah membuatkan dia lebih berhati-hati semasa mengacarakan sesebuah program.
“Tambah pula, saya pernah dikecam sebelum ini gara-gara kurang sensitif ketika mengacarakan program ini untuk musim terdahulu. Jadi sudah tentulah saya akan lebih berhati-hati dan dipantau pihak produksi,” katanya.
Hentikan spekulasi
Oleh yang demikian, Nabil berharap pihak luar berhenti mensensasikan kenyataannya terhadap Mamat kerana segala fikiran negatif yang difikirkan adalah tidak tepat.
“Saya menghormati setiap penyanyi lama yang ada di Malaysia. Mereka ini adalah figura yang berbakat besar dan mempunyai kredibiliti tersendiri.
“Jangan disebabkan ada pihak cuba melaga-lagakan, saya pula menjadi mangsa sedangkan kenyataan saya tidak membawa maksud yang kebanyakan daripada anda fikir.
“Saya tetap dengan pendirian saya yang mengatakan maksud sebenar Mamat berada di tempat tinggi adalah dia seorang ‘legend’ dan penyertaannya dalam program GV sebelum ini sudah meletakkan dia di tahap yang lebih tinggi” katanya.
Terdahulu, Nabil berseloroh apabila menyatakan ketiadaan Mamat semasa program tersebut adalah kerana Mamat sudah berada di tempat yang tinggi. Kenyataan beliau telah mengundang pelbagai kecaman ramai.
Sumber: Harian Metro