Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang merancang memperluas penggunaan kamera badan (body-worn camera, BWC) dalam kalangan anggota penguat kuasanya, susulan insiden kekecohan yang tular membabitkan peniaga tanpa lesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) baru-baru ini.
Menurut Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Lai Chen Heng, penggunaan kamera badan sebenarnya telah pun dimulakan, namun ia ketika ini hanya digunakan dalam operasi berskala besar seperti penyitaan atau serbuan ke atas premis tidak berlesen.
“Cadangan untuk perluaskan penggunaan BWC ini akan dibawa dalam masa terdekat. Cuma, kita perlu teliti aspek kos dan sistem penyimpanan data kerana jumlah anggota penguat kuasa sangat ramai,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Beliau menjelaskan, selain harga kamera yang tinggi, DBKL juga perlu melabur untuk sistem simpanan data harian yang dikumpul melalui rakaman kamera tersebut.
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- ‘Kesilapan saya sebab terlalu percayakan orang’ – Azar Azmi
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
- Polis kesan lelaki ‘Ucuk’, disyaki conteng kalimah suci di tokong
Kekecohan yang tular minggu lalu dipercayai berpunca daripada tindakan penguat kuasa terhadap individu yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan Jalan TAR. Dalam rakaman video yang tersebar, berlaku pertikaman lidah dan kekasaran fizikal antara dua pihak terbabit.
“Sebenarnya, anggota penguat kuasa tak bertindak sembrono. Sebelum apa-apa tindakan, mereka akan keluarkan sekurang-kurangnya tiga notis terlebih dahulu kepada peniaga terbabit,” kata Chen Heng.
Namun beliau mengakui kekesalan atas kekasaran yang berlaku, dan memaklumkan tiga anggota terbabit telah direhatkan sebagai langkah kawalan kerosakan sementara siasatan dalaman dijalankan sekiranya ada laporan polis.
Dalam masa sama, DBKL kini giat menuju ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar pintar. Langkah itu termasuk pengemaskinian infrastruktur serta pengurangan aktiviti penjajaan tidak berlesen di kawasan tumpuan.
“DBKL akan bantu penjaja untuk mohon lesen secara terus, tanpa melalui persatuan,” tambahnya.








