Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Keluarga kepada seorang guru yang ditumbuk oleh pelajar di sebuah sekolah menengah baru-baru ini menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, individu dikenali sebagai Rah Fird yang memperkenalkan dirinya sebagai abang kepada mangsa berkata, mereka tidak mahu memperbesarkan isu tersebut di media sosial, sebaliknya berharap agar pelajar terbabit dikenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran.
“Kami sudah serahkan kes ini kepada pihak berkuasa dan berharap hukuman yang bersesuaian dan setimpal kepada murid tersebut.
“Murid itu masih muda, masih ada ruang untuk dia berubah dan menabur jasa kepada orang lain,” tulisnya.
Baca juga:
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
- WWF-Malaysia ambil maklum kebimbangan orang ramai kebajikan tiga gajah
- GSF 2.0: Tiga delegasi Malaysia kembali ke tanah air selepas kapal rosak
Mangsa, Cikgu Wan Anwar, merupakan graduan Pendidikan Jasmani dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan telah berkhidmat lebih empat tahun sebagai guru ganti. Beliau juga merupakan bekas atlet negeri Johor dalam sukan boling dan pernah mewakili MSSM serta SUKMA.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika beliau membantu rakan setugas menegur pelajar berkenaan yang tidak hadir ke kelas. Tindakan itu bagaimanapun mengundang tindak balas agresif apabila pelajar tersebut dikatakan bertindak menumbuknya.
Ekoran kejadian itu, guru terbabit mengalami kecederaan ringnan dan satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan lanjut.
Dalam hantaran sama, Rah Fird turut berharap pelajar berkenaan diberikan bimbingan dan peluang untuk berubah demi masa depannya.
“Semoga dia diberikan keinsafan dan menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat satu hari nanti.”
Sumber: Facebook Rah Fird




