PIBGN tegur tindakan rakam video pelajar
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menegur tindakan guru dan rakannya yang merakam video pelajar ketika kejadian pertengkaran berlaku, menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak wajar dan boleh menjejaskan keharmonian antara guru dan keluarga pelajar.
Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ada pendekatan lebih sesuai yang seharusnya digunakan dalam menangani pelajar yang enggan mengikut arahan.
“Pastinya ada cara lebih harmonis dan tertib boleh dilakukan termasuk berbincang dengan guru kaunseling, guru disiplin, pihak PIBG dan ahli keluarga, selain mendapatkan pandangan pakar serta agamawan,” katanya.
Beliau menegaskan guru sebagai pendidik perlu berjiwa besar dalam mendidik, dengan memberi nasihat yang menyentuh hati pelajar tanpa melibatkan sebarang tindakan fizikal atau penyebaran video.
“Tindakan itu akan ‘mematikan’ keazaman serta cita-cita murni pelajar di bawah didikan mereka,” katanya.
Baca juga:
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
- WWF-Malaysia ambil maklum kebimbangan orang ramai kebajikan tiga gajah
- GSF 2.0: Tiga delegasi Malaysia kembali ke tanah air selepas kapal rosak
iGuru kecam tindakan pelajar, minta hukuman dan kaunseling
Sementara itu, Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan menyifatkan perbuatan pelajar yang mengugut dan menumbuk guru sebagai “biadap dan kurang ajar” serta boleh mengancam keselamatan warga sekolah.
Beliau menyeru agar tindakan tegas diambil terhadap pelajar terbabit, namun menegaskan ia perlu dilakukan secara adil mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Pelajar terbabit perlu diberikan intervensi dari sudut hukuman (disiplin) serta bimbingan kaunseling. Langkah pencegahan juga perlu segera diambil bagi memastikan ekosistem sekolah kekal selamat,” katanya.
Mengenai penularan video insiden itu, Azizee berkata tindakan lanjut perlu dibuat berdasarkan pekeliling sedia ada daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau turut menyarankan agar nilai murni dan rohani diberi penekanan dalam sistem pendidikan bagi membendung gejala tidak sihat.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 38 saat memaparkan pertengkaran antara dua pelajar, dengan seorang daripadanya menumbuk pipi rakannya. Polis mengesahkan seorang pelajar lelaki telah ditahan susulan laporan yang dibuat seorang guru lelaki berusia 29 tahun yang mendakwa diugut dan ditumbuk pelajar terbabit.
Sumber: Harian Metro




