Remaja serang guru mengaku salah, ibu kata 'Anak saya kesal & mohon maaf' | The Reporter

Remaja serang guru mengaku salah, ibu kata ‘Anak saya kesal & mohon maaf’

Seorang remaja berpakaian batik sekolah diiringi anggota polis dan imej pertengkaran pelajar bersama guru di kawasan sekolah.
Remaja yang tular menyerang guru di sebuah sekolah di Kajang mengaku bersalah di mahkamah; kejadian turut dirakam dan tersebar di media sosial.
Insiden tular di sekolah menengah Kajang cetus kebimbangan awam

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tular menumbuk guru lelaki di sebuah sekolah menengah di Kajang mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan mangsa, dalam prosiding di Mahkamah Majistret hari ini.

Tertuduh yang merupakan pelajar peralihan tingkatan satu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Menurut pertuduhan, remaja itu dengan sengaja mencederakan seorang guru lelaki berusia 29 tahun di sekolah tersebut kira-kira jam 4.48 petang, Isnin lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Baca juga:

Mahkamah tetap tarikh 11 September untuk laporan akhlak

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, memandangkan kes itu melibatkan kecederaan terhadap penjawat awam dan telah mencetuskan perhatian umum di media sosial.

Namun, peguam tertuduh, S Priyalatha, merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih bersekolah dan merupakan pesalah juvana.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 11 September depan bagi laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum sebarang keputusan hukuman dibuat.

“Anak saya kesal dan sudah minta maaf” – ibu tertuduh

Ketika ditemui media, ibu kepada remaja terbabit berkata anaknya merupakan anak tunggal yang tinggal bersamanya selepas berpisah dengan suami. Wanita itu turut mendedahkan anaknya menyesal dengan perbuatannya dan telah memohon maaf kepada guru terbabit.

“Anak saya kesal dengan apa yang berlaku dan dia memang dah minta maaf kepada cikgu tu,” katanya ringkas.

Sumber: Harian Metro

Related Posts