Kebelakangan ini tular mengenai isu istilah ‘childfree’ yang hangat dibincangkan di media sosial. Beberapa faktor dikatakan penyumbang kepada trend childfree ini terutamanya pada golongan muda yang baru sahaja berkahwin.
Antara faktor yang bermain di fikiran mereka adalah ekonomi, ketersediaan, pekerjaan dan bermacam-macam lagi.
Memetik artikel yang dikeluarkan daripada Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram.
Mengulas isu ini juga pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menyatakan trend childfree merupakan trend bukan orang Islam.
“Itu bukan seruan Islam, itu seruan orang di luar Islam. Orang yang beriman dia akan ikut Nabi.
“Kata Nabi, baginda rasa bangga apabila ramai umat pada Hari Kiamat.
“Dengan anaklah, penyambung nasab keturunan kita dan mendoakan kita,” katanya.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus, Mufti Wilayah Persekutuan