Wanita yang sedang berada dalam tempoh ‘iddah dibenarkan keluar rumah bagi menunaikan tanggungjawab mengundi, namun perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan syarak.
Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, hukum wanita dalam tempoh ‘iddah keluar mengundi adalah diharuskan kerana mengundi merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan sendiri dan tidak boleh diwakilkan kepada orang lain.
Menurut beliau, hukum asal keluar mengundi bagi tujuan melantik pemimpin adalah fardu kifayah, namun ia boleh menjadi fardu ain apabila terdapat arahan dan ketetapan pemerintah yang mewajibkan rakyat melaksanakan tanggungjawab tersebut.
“Ini termasuk dalam kategori wajib muqayyad kerana mengundi terikat dengan tempoh tertentu dan arahan daripada pemimpin,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan masyarakat berhubung status wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah menjelang hari pengundian.
Baca juga:
- Boleh keluar mengundi ketika ‘iddah? Ustazah Asma’ beri penjelasan
- Juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta, disyaki seludup 25kg dadah
- ‘Janganlah kegembiraan kita menjadi kesusahan kepada orang lain’ – Dr Zulkifli
Mengulas lanjut, Asma’ menjelaskan, ‘iddah ialah tempoh tertentu yang perlu dilalui oleh seorang wanita selepas perceraian atau kematian suami sebagai tanda mematuhi perintah Allah SWT, selain memastikan keadaan rahimnya bersih daripada kandungan.
Beliau turut memetik hadis riwayat Jabir r.a. yang menunjukkan keharusan wanita dalam tempoh ‘iddah keluar bagi melaksanakan urusan yang mempunyai keperluan.
Bagaimanapun, Ustazah Asma’ menegaskan wanita dalam tempoh ‘iddah yang keluar mengundi tetap perlu menjaga beberapa perkara, antaranya tidak keluar rumah tanpa hajat, menjaga aurat, memelihara tatasusila serta menjauhkan diri daripada perkara yang boleh membawa kepada fitnah.
Selain itu, wanita berkenaan juga tidak dibenarkan berhias secara berlebihan, memakai barang kemas seperti emas dan perak, atau menggunakan wangian sepanjang tempoh tersebut.









