Satu kejadian kebakaran bas melibatkan pelajar dan guru dilaporkan berlaku di Thailand.
Menerusi sebuah laporan menyebut, 25 orang termasuk pelajar dari wilayah Uthai Thani di utara Thailand, dikhuatiri terkorban dalam kejadian pada Selasa.
Menurut Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Pol. Gen. Kittharath Punpetch bas berkenaan dalam perjalanan pulang ke Uthani Thai sebelum terbakar di Jalan Vibhavadi Rangsit di Bangkok.
Bas yang membawa enam guru dan 39 pelajar itu dikatakan terbakar kerana dipercayai akibat tayar meletup. Dan letupan itu telah menyebabkan percikan api yang menyambar tangki gas.
“Keadaan itu menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat ke seluruh bas.
“Polis mengutamakan usaha menyelamat dan memberi sokongan kepada pelajar serta keluarga yang terjejas. Mayat mangsa telah ditemukan, namun jumlah kematian yang tepat belum dapat disahkan kerana ada mangsa yang masih terperangkap di bawah tempat duduk.
“Pasukan penyelamat sedang menanggalkan tempat duduk dengan berhati-hati untuk mengeluarkan mayat,” katanya.
Dalam pada itu, pemandu bas yang melarikan diri telah ditahan polis.
Difahamkan juga, pelajar yang menjadi mangsa kejadian tragis itu berumur antara enam hingga 15 tahun.
Sementara itu, beberapa klip video tular memaparkan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dilihat sebak dengan insiden yang berlaku. Beliau juga mengambil kesempatan memberikan sokongan moral kepada guru dan pelajar yang terselamat dalam kejadian berkenaan.
Sumber: Harian Metro, Chaudary Parvez