Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon, Azhan Rani meluahkan rasa kagum dan hormat terhadap semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Haji Mohd Khalid bin Mohd Yunus yang kini berusia 82 tahun, selepas menyaksikan sendiri keupayaan beliau menawan Gunung Angsi tanpa sebarang pengiring atau bantuan keselamatan.
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Azhan di media sosial, beliau memuji kesederhanaan dan kekuatan fizikal Tan Sri Khalid yang kelihatan begitu tenang dan bertenaga sepanjang pendakian, seolah-olah hanya berjalan santai di taman permainan.
“Takde escort, takde bodyguard, seorang diri macam jalan-jalan kat playground je. Bukan sebarang tokoh ni. Beliau adalah Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Haji Mohd Khalid bin Mohd Yunus yang pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan tinggi dalam kerajaan suatu masa dahulu dan kini merupakan Presiden Persatuan Kembara,” tulis Azhan.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Lebih mengagumkan, Azhan turut mendedahkan bahawa tokoh berjiwa kental itu merancang untuk menawan puncak Gunung Kinabalu pada bulan September nanti.
“Usia 82 tahun ya. Yang usia 28 tahun pun kadang-kadang naik tangga tiga tingkat pun dah mengeluh dengan muka paling derita. Ini relax-relax je beliau main di Gunung Angsi ni,” katanya sambil menyatakan rasa hormat yang mendalam.
Azhan turut menitipkan doa agar Tan Sri Khalid sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan beliau.
“Salute & respect kepada Tan Sri. Semoga terus sihat sejahtera dan dipermudahkan segala urusan Tan Sri. Doakan andai dipanjangkan usia saya nanti, saya mampu buat macam ni juga bila menjangkau usia emas saya,” tambahnya.
Tan Sri Khalid Yunus merupakan nama yang tidak asing dalam pentas politik dan pentadbiran negara. Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan kanan dalam kerajaan serta dikenali sebagai tokoh yang aktif dalam kegiatan kembara dan lasak.
Beliau merupakan bekas Timbalan Menteri di beberapa kementerian sekitar tahun 1990-an hingga awal 2000-an, termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Penerangan dan pernah menjadi Ahli Parlimen Jempol (UMNO/BN).








