Azalina nasihat Ahli Parlimen jangan mudah kosongkan kerusi sebelum tamat penggal | The Reporter

Azalina nasihat Ahli Parlimen jangan mudah kosongkan kerusi sebelum tamat penggal

Azalina Othman Said mengulas tindakan Ahli Parlimen mengosongkan kerusi sebelum tamat penggal Parlimen.
Gambar: Bernama

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan mana-mana Ahli Parlimen tidak sewajarnya mengambil jalan mudah dengan sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi yang disandang ketika tempoh penggal masih belum berakhir.

Beliau berkata, walaupun tindakan itu merupakan hak demokrasi setiap wakil rakyat yang dipilih, namun mereka tetap memikul tanggungjawab besar terhadap rakyat di kawasan masing-masing, khususnya dalam membawa suara pengundi ke Dewan Rakyat.

Menurut Azalina, pengundi mengharapkan wakil rakyat sentiasa berada bersama mereka untuk menyelesaikan pelbagai isu dan keperluan rakyat setempat.

“Kasihanlah pada rakyat, pengundi di Parlimen Pandan. Pada saya, mereka mengharapkan wakil rakyat itu ada. Paling tidak pun bolehlah rakyat ketuk pintu kalau tak puas hati atau perlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Dalam masa sama, Azalina berharap mana-mana wakil rakyat khususnya dalam Barisan Nasional (BN) tidak mengambil tindakan sama sebelum menamatkan tempoh perkhidmatan kepada rakyat.

“Selagi Parlimen belum dibubar dan tempoh lima tahun itu masih berjalan, selesaikanlah dahulu khidmat kepada rakyat. Selepas itu kalau mahu bertanding atau masuk parti lain, itu terpulang,” katanya lagi.

Baca juga:

Tambah beliau, pandangan dan suara pengundi juga perlu diambil kira sebelum seseorang Ahli Parlimen membuat keputusan besar seperti mengosongkan kerusi.

Katanya, rakyat yang keluar mengundi sudah tentu mengharapkan wakil rakyat yang dipilih dapat menamatkan penggal perkhidmatan sehingga Parlimen dibubarkan.

Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan sudah menghantar notis pemakluman pengosongan kerusi Parlimen masing-masing kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sumber: Berita Harian

Related Posts