Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak keberatan memohon maaf kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu kenyataan subsidi RON95 kepada warga asing sekiranya dua lagi sumber maklumat yang beliau peroleh disahkan tidak benar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, beliau memiliki tiga sumber berhubung perkara itu, dan setakat ini satu daripadanya sudah disahkan tidak tepat.
“Kalau betul dua sumber itu juga tidak sahih, saya tidak ada masalah (meminta maaf). Memang kalau kesilapan sesiapa sahaja berdasarkan sumber yang digunakan itu disahkan MCMC, saya akan jelaskan dan minta maaf. Tapi tunggulah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Dr Noraishah Mydin, umum tarik diri dari PKR
- Ucapan Ramanan dicelah Hassan Karim, cetus ketegangan di Konvensyen PKR Johor
Sindir pembangkang isu minta maaf
Menjawab desakan supaya beliau memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri itu, Anwar membalas dengan menyindir sikap pembangkang yang menurutnya jarang memohon maaf walaupun membuat tuduhan berulang kali.
“Tang kita, Anwar, PMX zalim, tidak beri peruntukan kepada Kelantan, gunakan hakim untuk menekan, gunakan SPRM untuk mendakwa, hari-hari kita dengar. Tak ada pula nak minta maaf. Guna hadis pula pertahan, guna Qunut Nazilah pun tak apalah,” ujarnya.
Beliau berkata, jika semangat saling memohon maaf itu diterapkan secara adil, ia dapat mewujudkan hubungan politik yang lebih sivil dan membina.
Usaha diplomasi turut dipersoal
Anwar turut membangkitkan bagaimana usaha beliau menyelesaikan konflik Kemboja–Thailand serta isu tuntutan di Sulawesi demi kepentingan negara juga dipertikai pembangkang tanpa sebarang permohonan maaf selepas penjelasan diberi.
“Baru-baru ini nota persefahaman saya dengan Presiden Prabowo disebarkan. Ada minta maaf? Tak ada,” katanya.
Baca juga:
- Pelajar tingkatan tiga maut selepas pamer aksi wheelie
- Lelaki ditemui maut dalam stor berkunci di fasiliti sukan UPSI
- ‘Tiada sekatan MyKad bagi BUDI95 selagi patuh undang-undang’ – JPN
Ingatkan peranan wakil rakyat
Perdana Menteri mengingatkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, agar berpandukan fakta dan bukan persepsi ketika berdebat atau mengeluarkan kenyataan.
“Orang ramai telah menyatakan, orang ramai mana? Jadi ingat, jangan berselindung di sebalik persepsi. Saya minta, biar kedua-dua pihak ambil sikap yang lebih sopan dan beradab,” katanya.
Sumber: Harian Metro, Kosmo











