Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli serta penyokong parti Parti Keadilan Rakyat (PKR), supaya mengelakkan daripada memberikan sanggahan atau kritikan berlebihan terhadap calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti.
Menurut beliau, calon-calon tersebut merupakan pemimpin yang telah lama berjasa dan berkorban demi perjuangan parti.
“Sebahagian besar mereka adalah pejuang asal. Oleh itu, kita jangan menambah suhu kehangatan. Kita mesti selesaikan (perbezaan) dengan baik,” katanya.
Anwar yang juga merupakan Presiden PKR turut menjelaskan bahawa beliau tidak terlalu bimbang dengan persaingan di peringkat pusat kerana calon-calon yang bertanding, seperti untuk jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, adalah dalam kalangan rakan-rakan lama yang setia.
“Saya tengok senarai calon Naib Presiden, ramai yang cukup layak. Kalau saya ada dua tempat untuk Timbalan Presiden, dua-dua saya sokong. Kalau ada 11 tempat untuk Naib Presiden, semua saya sokong.
“Kalau kita tak pilih seseorang calon, janganlah merendahkan martabat orang lain. Ini disebut adab dan akhlak dalam perjuangan,” tambahnya.
Anwar turut menegaskan bahawa PKR dibina berasaskan prinsip dan nilai akhlak yang tinggi.
“Saya tak nafikan kadang-kadang berlaku keterlanjuran sehingga orang lupa bahawa teras parti ini adalah nilai dan prinsip. Kalau kita sedar hal ini, maka soal akhlak menjadi keutamaan.
“Jangan kerana perbezaan pendapat kita bermusuhan secara berlebihan. Kena ada ehsan, ada hadnya. Fikirkan kesusahan dan derita orang lain. Hanya dengan ini kita boleh menjadi parti dan pimpinan yang adil,” katanya.
Sumber: Harian Metro, Youtube Jason








