Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tampak elegan dan menawan, busana ‘The Malaya’ bakal diperagakan oleh atlet Malaysia pada majlis perasmian temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Busana berkenaan direka khas oleh pereka fesyen terkenal tempatan Rizman Ruzaini.
Menerusi hantaran di Instagram Majlis Olimpik Malaysia (MOM), atlet wanita akan memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet berbaju Melayu Teluk Belanga.
Dalam hantaran tersebut juga MOM memaklumkan pereka fesyen berkenaan dijemput pada Januari lalu untuk menyertai Malam Olimpik 2024 di Kuala Lumpur apabila pereka tempatan diberi peluang untuk mempamerkan visi mereka tentang pakaian yang akan dipakai oleh atlet kita pada majlis perasmian temasya edisi ke-33 itu.
Sejak itu, Rizman Ruzaini bekerja keras untuk menghasilkan pakaian tradisional membentuk ‘The Malaya’iaitu satu visi yang diterjemahkan kepada apa yang dilihat hari ini dan apa yang dunia akan saksikan pada 26 Julai sebagai atlet kami #GoForGold ,” kata MOM.
Sementara itu, Rizman Nordin berkata, pemilihan baju teluk belanga adalah sebagai tanda junjungan kasih buat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor.
Selain itu koleksi ini adalah satu dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yantuan Amtah, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mak Kilau dan Tuanku Abdul Rahman.
“Kami memilih skim warna hijau zaitun dengan motif keemasan kerana warna ini memberikan satu aura klasik dan di bawah pantulan cahaya ia akan memancarkan efek keemasan, simbolik harapan untuk atlet kita membawa pulang pingat emas untuk Malaysia,” katanya.
Sumber : Majlis Olimpik Malaysia (MOM)








