Ammar Ahyan, anak kepada usahawan terkenal Datuk Seri Aliff Syukri, mencuri perhatian ramai apabila hadir ke Konvensyen 80 Tahun UMNO.
Menerusi beberapa video dan gambar yang tular di media sosial, Ammar dilihat mengenakan baju berwarna merah dan duduk bersama para perwakilan UMNO lain sambil tekun mendengar sesi konvensyen tersebut.
Salah satu video yang tular di TikTok turut merakamkan Ammar beramah mesra dengan ahli-ahli Puteri UMNO. Tindakannya yang bersalaman dan bertegur sapa dengan para pewakilan lain turut mendapat pujian, apabila disifatkan sebagai sikap menghormati golongan lebih tua.
Selain itu, Ammar juga sempat bergambar serta berbual dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi memaklumkan bahawa Ammar merupakan peminat Khairy.
Baca juga:
- Pramugara Hafeez Albukhary meninggal dunia
- Albert Tei pertimbang sertai PRN Negeri Sembilan, sasar kerusi Anthony Loke
- MEF sedia tawarkan pekerjaan sektor 3D kepada pelarian Rohingya
Memetik laporan Free Malaysia Today, Ammar menjelaskan kehadirannya ke konvensyen berkenaan adalah untuk menilai pemimpin parti tersebut dari perspektif seorang pengundi kali pertama dan bakal ahli.
Terdahulu, ibunya, Datin Seri Shahida, pernah memaklumkan bahawa anak sulungnya itu menunjukkan minat terhadap dunia politik dan pernah menyuarakan hasrat untuk terlibat dalam bidang berkenaan.








