Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perkahwinan selebriti Aliff Aziz dan Bella Astillah menemui titik nokhtah apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Aliff melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat, kira-kira jam 1.10 tengah hari. Lafaz itu kemudian disahkan mengikut hukum syarak oleh Wan Mohd Najib.
“Bahawa saya menceraikan isteri saya dengan talak satu mulai hari ini,” lafaz Aliff.
Bella yang tampak tenang ketika lafaz diucapkan, bersetuju tidak menuntut mutaah dan nafkah iddah.
Pernah bercerai talak satu dan rujuk semula
Pasangan selebriti berkenaan sebelum ini pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun, rujuk semula.
Dalam prosiding berkenaan, peguam syarie mewakili Bella, Azmi Mohd Rais berkata, perbincangan dibuat antara kedua-dua pihak termasuk terma yang dipersetujui.
“Dalam perjanjian itu, ada terma di mana defendan hadir melafazkan cerai dan plaintif melepaskan hak mutaah dan nafkah iddah serta kedua-dua pihak tidak akan menuntut harta sepencarian.
“Aliff lepaskan hak penjagaan anak-anak kepada Bella sepenuhnya. Aiff juga tidak akan menuntut nusyuz sekiranya ada dan perjanjian itu ditandatangani hari ini,” katanya.
Terdahulu, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Sumber: Berita Harian