Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Susulan video muzik raya Serumpun sebelum ini mendapat banyak kritikan, penyanyi lagu berkenaan, Mimi Fly bertindak menurunkan video muzik lagu berkenaan dan menggantikan dengan gubahan semula.
Menerusi kenyataan di Instagram, Mimi menerima dengan hati yang terbuka setiap teguran termasuk daripada mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof. Madya Luqman Abdullah.
“Semenjak video muzik saya dilancarkan, saya terima banyak maklum balas daripada peminat dan pendengar muzik Malaysia. Ada yang baik dan ada juga yang bimbang kalau pendekatan seni saya ditafsir berlainan serta menyimpang dari niat saya yang sebenar.
“Saya sudah mendapat teguran daripada mufti Wilayah Persekutuan dan juga nasihat lain jadi saya ambil maklum dan akur dengan kekhilafan dan telah menurunkan video Serumpun,” katanya.
Mimi juga memaklumkan kru produksi video muzik sudah melakukan gubahan semula dan muzik video Serumpun yang baharu sudah dimuat naik di saluran YouTubenya pada jam 11 pagi semalam.
Katanya, sebagai anak seni, dia sentiasa mahukan karya diterima dan berkualiti.
“Sebagai anak Melayu bukanlah niat saya untuk menghina agama dan budaya kita. Sebagai anak seni saya sentiasa mahu pastikan karya saya diterima dan berkualiti dan memberi maknanya dalam.
“Saya manusia biasa dan tidak terlepas melakukan kesilapan. Terima kasih bagi teguran dan kritikan yang baik,” katanya.
Tambah Mimi, lagu berkenaan telah digubah sendiri dengan mengambil ilham dari kepelbagaian budaya di dalam nusantara zaman berzaman.
“Sekali lagi saya memohon jutaan kemaafan. Teruskan mendengar Serumpun dan hayati makna Aidilfitri menerusi lagu ini,” jelasnya.
Sementara itu, pengarah muzik berkenaan, Hafiz A Rashid tampil memberikan penjelasan. Menurutnya, menjadi tanggungjawabnya untuk memperbetulkan dan memperbaiki keadaan agar segala fitnah yang bertebaran dapat dihentikan.
“Apabila ia ditegur sehingga mencetuskan pelbagai fitnah, saya sebagai Pengarah Muzik Video ni, dah menjadi tanggungjawab saya untuk memperbetulkan dan memperbaiki supaya fitnah yang ditabur dapat dihentikan..Kami tiada niat nak menyinggung mana-mana pihak,” ujarnya menerusi perkongsian di Instagram.








