Ahli Parlimen Kapar persoalkan di Dewan Rakyat, mengapa bantuan ke Gaza tidak dihantar melalui laluan udara - The Reporter

Ahli Parlimen Kapar persoalkan di Dewan Rakyat, mengapa bantuan ke Gaza tidak dihantar melalui laluan udara

Konflik peperangan yang berlaku antara Palestin dan Israel menggusarkan masyarakat dunia. Walaupun pelbagai sumbangan dan bentuk bantuan diberikan oleh pelbagai negara, namun bukan mudah untuk melepasi sempadan yang telah ditetapkan.

Melihat kepada situasi tersebut, pelbagai cadangan dan persoalan yang ditimbulkan bagi merungkai situasi yang berlaku.

Ahli Parlimen Kapar (PN), Dr Halimah Ali semasa di Dewan Rakyat membangkitkan persoalan mengapa bantuan makanan dan kemanusiaan tidak boleh dihantar melalui laluan udara ke Gaza.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman membantu mangsa bencana tsunami sebelum ini, laluan udara digunakan bagi memberi bantuan.

Namun katanya, inisiatif itu sudah pasti perlu mendapat persefahaman antarabangsa agar bantuan itu tidak pula ditembak rejim Zionis.

“Kalaulah jalan darat, bermakna trak-trak yang nak masuk ini, beratur nak masuk sedangkan disekat. Tidak adakah cara, bantuan daripada udara dari negara antarabangsa untuk bantu.

“Pengalaman saya dalam tsunami dan sebagainya, dia ‘drop’ (bantuan kemanusiaan) daripada atas tapi kena ada persefahaman antarabangsa, dari segi kemanusiaan untuk memahamkan Israel.

“Jangan dia (Israel) pula tembak bantuan makan dan perubatan itu,” katanya.

Walau bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata cadangan yang dikemukakan itu cadangan ideal dan bersetuju jika ruang udara itu dibuka.

“Sekiranya kalau ruang udara itu dibuka, bagi membolehkan penghantaran dilakukan.

“Itulah yang sebaiknya tapi itu tidak terjadi. Yang berlaku adalah, bukan penghantaran makanan tetapi penghantaran bom-bom yang berterusan di bumi Gaza,” jawab beliau.

Sumber: Astro Awani

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!