Adidas memohon maaf selepas kempen tempatan syarikat itu yang menampilkan bekas tentera Israel, Shalev Biton, mencetuskan kritikan dan gesaan boikot dalam kalangan aktivis pro-Palestin.
Permohonan maaf itu susulan penggunaan imej Biton dalam promosi perkhidmatan Single Shoe, yang membolehkan individu yang mempunyai perbezaan anggota badan membeli hanya sebelah kasut berbanding sepasang. Kempen berkenaan dipaparkan di cawangan Adidas di Israel.
Biton kehilangan kaki kiri selepas cedera ketika berkhidmat dalam tentera Israel pada 2021. Beliau merupakan antara beberapa atlet kurang upaya yang dipaparkan dalam poster kempen tersebut.
Menurut Al Jazeera, kempen itu mencetuskan kritikan daripada aktivis hak asasi manusia dan pro-Palestin yang mempertikaikan pemilihan bekas anggota tentera Israel dalam kempen berkaitan amputasi, terutama ketika isu kehilangan anggota badan dalam kalangan penduduk Palestin di Gaza mendapat perhatian.
Adidas kemudian mengakui imej yang digunakan itu telah menimbulkan kebimbangan serta reaksi kuat daripada orang ramai.
“Bukan niat kami untuk menyinggung perasaan dan kami memohon maaf kepada semua yang terkesan,” menurut kenyataan Adidas.
Baca juga:
- Adidas mohon maaf selepas kempen tampilkan bekas tentera Israel cetus gesaan boikot
- PM Thailand arah warga Perancis dihantar pulang selepas larang warga Israel masuk zoo
- BKSDA Kalimantan Barat sahkan kematian Orang Utan
Syarikat itu turut menegaskan kempen berkenaan merupakan inisiatif tempatan dan bukan sebahagian daripada kempen global Adidas. Adidas berkata pihaknya mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan dan akan terus mendengar serta memperbaiki tindakannya agar selari dengan nilai keterangkuman yang dibawa syarikat.
Perkhidmatan Single Shoe itu sendiri diperkenalkan Adidas bagi membantu individu yang hanya memerlukan sebelah kasut. Menurut Anadolu Agency, perkhidmatan tersebut ditawarkan pada harga 50 peratus daripada harga sepasang kasut di kedai dan outlet milik Adidas, selepas diperkenalkan di 23 negara Eropah pada Januari lalu.
Adidas berkata perkhidmatan berkenaan turut diperluaskan ke beberapa negara di Asia dan Timur Tengah, termasuk Palestin, Emiriah Arab Bersatu, Lubnan, Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Mesir.
Kontroversi itu turut mendapat perhatian pelakon Sepanyol, Javier Bardem, yang antara lain menyeru pengguna memboikot Adidas susulan kempen tersebut.
Sumber:Anadolu, Al-Jazeera









