'Adakah Khairul Aming akan menang kes Sambal Nyet Berapi diciplak?' - Ini penjelasan pakar trademark - The Reporter

‘Adakah Khairul Aming akan menang kes Sambal Nyet Berapi diciplak?’ – Ini penjelasan pakar trademark

Kes produk Sambal Nyet Berapi, milik pempengaruh terkenal, Khairul Aming, yang ditiru oleh peniaga tidak bertanggungjawab beberapa minggu lalu telah menarik perhatian ramai.

Peniaga terbabit didakwa menggunakan nama, bungkusan dan poskad yang hampir sama dengan produk asal dan mengeluarkan produk tiruan tersebut dengan nama Sambal Nyet Khairi. Sedangkan, produk Sambal Nyet Berapi telah didaftar dan diluluskan oleh MyIPO pada November 2021.

Ekoran itu, Khairul Aming telah mengarahkan peguamnya menghantar Letter of Demand kepada pihak berkenaan untuk menjawab 8 tuntutan yang dikemukakan. Kegagalan berbuat demikian, akan menyebabkan pihaknya mengambil tindakan yang lebih berat.

Setakat ini, belum ada sebarang perkembangan baru mengenai kes itu.

Di platform TikTok, seorang pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Tee Intellectual Property, Tee Lin Yik, telah tampil berkongsi pandangannya mengenai kes itu.

https://www.tiktok.com/@teelinyik/video/7323037249686277383

Adakah Khairul Aming akan menang dalam kes Sambal Nyet Berapi diciplak?

Pertama sekali, kita perlu menentukan sama ada tanda dagangan (trademark) ini telah didaftarkan atau tidak di Malaysia. Berdasarkan carian pantas dari pangkalan data Trademark Malaysia, kami mendapati ada dua permohonan yang dibuat oleh Khairul Aming. Kelas 16 dan Kelas 30.

Kelas 16 melindungi bahan-bahan cetakan dan pembungkusan. Manakala Kelas 30 melindungi sos seperti sambal.

Khairul Aming telah berjaya mendapatkan pendaftaran Kelas 16. Walau bagaimanapun, pendaftaran Kelas 30 yang paling penting dan asas belum didaftarkan dan ditolak oleh MyIPO.

Apabila berhadapan dengan penolakan, ada beberapa sebab mengapa trademark ditolak. Pada dasarnya, untuk mendapatkan pendaftaran trademark, anda mesti mempunyai trademark yang tidak mempunyai maknanya dalam kamus.

Jika ada, sekurang-kurangnya satu perkataan dalam kamus, kita cuba untuk tidak menggunakan perkataan yang mempunyai rujukan langsung kepada kualiti, kepada ciri-ciri produk.

Jadi Khairul Aming telah memilih ‘Sambal Nyet Berapi’. Sambal Berapi dan dengan reka bentuk api, jelas menunjukkan bahawa sambalnya sangat pedas. Perkataan Nyet pula, jika anda bertanya kepada komuniti Melayu atau komuniti Indonesia, Nyet adalah sejenis ungkapan.

Memandangkan adanya rujukan langsung kepada kualiti dan ciri-ciri produk itu, maka MyIPO pasti akan menolak permohonan trademark tersebut.

Bagaimana menangani permohonan yang ditolak?

Apabila permohonan ditolak, ada dua pilihan. Pertama adalah melalui rayuan bertulis dan kedua adalah melalui pendengaran, ‘ex parte’.

Menurut kajian kami, Khairul Aming telah memilih rayuan bertulis. Jika Khairul Aming adalah klien kami, saya mencadangkan kepada dia untuk mendapatkan pendengaran ‘ex parte’. Kerana dengan cara itu akan memberi anda peluang untuk berjumpa dengan pemeriksa trademark. Di situ anda mempunyai peluang untuk berdepan dengan pemeriksa, berhujah mengenai perkara yang dibangkitkan, yang akan lebih berkesan.

Jadi sekarang kita tahu bahawa ini bukan prosiding pelanggaran trademark langsung untuk Khairul Aming. Bagaimana dia menangani permohonannya trademarknya di bawah Kelas 30 yang ditolak oleh MyIPO.

Menurut saya, Khairul Aming harus berhujah bahawa trademark miliknya telah memperoleh keunikan dan makna sekunder melalui penggunaan yang luas dan berterusan di Malaysia.

Walau bagaimanapun, jika dia mahu membuktikan keunikan melalui penggunaan, ini bukan kes yang jelas di bawah pelanggaran trademark kerana tidak ada trademark yang didaftarkan di bawah Kelas 30 untuk Sambal Nyet Berapi.

Jadi apakah jalan keluar yang ada untuk Khairul Aming? Tentu saja ia akan menjadi undang-undang tort of passing off. Jadi untuk undang-undang passing off, Khairul Aming perlu bergantung pada, perlu menetapkan tiga keperluan.

Yang pertama adalah niat baik dan reputasi. Kedua gambaran salah (misrepresentation) dan ketiga adalah kerugian yang dialami oleh plaintif.

Apa-apa pun, saya mengucapkan semoga berjaya kepada pasukan Khairul Aming.

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!