Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf | The Reporter

Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf

Pelawak Jep Sepahtu menerima pujian Menteri Agama selepas berkongsi rekod pembayaran zakat berjumlah RM1.935 juta.
Jep Sepahtu. Gambar: Instagram Jep Sepahtu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menzahirkan penghargaan terhadap pelawak terkenal, Jep Sepahtu selepas tampil berkongsi rekod pembayaran zakat berjumlah kira-kira RM1.935 juta bagi tempoh 2016 hingga 2025.

Beliau menyifatkan tindakan Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin itu sebagai contoh positif yang wajar diteladani masyarakat, khususnya dalam menunaikan tanggungjawab terhadap golongan memerlukan.

Menurutnya, ketelusan pelawak berkenaan dalam mendedahkan rekod pembayaran zakat bukan sahaja membuktikan komitmen terhadap kewajipan agama, malah menjadi inspirasi kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan buat saudara Jep Sepahtu yang benar-benar menjadi wira serta inspirasi kepada para asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Kita ambil dari sudut positif dan doakan yang baik-baik untuk semua,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.

Langkah berani pertahankan integriti

Beliau berkata, tindakan Jep berkongsi rekod pembayaran zakat sepanjang tempoh 10 tahun itu merupakan langkah berani dalam mempertahankan integriti, menegakkan ketelusan serta menangkis fitnah.

Katanya, sikap yang ditunjukkan figura awam seperti Jep wajar dijadikan pengajaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menunaikan kewajipan agama.

“Pengorbanan dan ketelusan figura awam seperti beliau wajar dijadikan ibrah dan iktibar terbaik buat seluruh masyarakat,” katanya.

Zakat sebagai benteng ekonomi

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa zakat bukan sekadar kewajipan menyucikan harta, sebaliknya turut berperanan sebagai benteng ekonomi dan membantu kelangsungan hidup golongan memerlukan.

Jelasnya, amalan berzakat juga mampu mengukuhkan persaudaraan serta keadilan sosioekonomi umat Islam melalui pembelaan terhadap golongan asnaf.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat mencontohi sikap positif berkenaan dengan menunaikan kewajipan zakat melalui saluran yang disediakan.

Terdahulu, Jep mencuri perhatian selepas memuat naik beberapa keping resit pembayaran zakat perniagaannya dari tahun 2016 hingga 2025, termasuk bayaran sebanyak RM300,000 pada tahun lalu.

Jep menjelaskan bahawa perkongsian tersebut bukan bertujuan menunjuk-nunjuk, sebaliknya sebagai bukti bahawa beliau melaksanakan tanggungjawabnya dan tidak mengambil hak orang lain.

Perkongsian itu dibuat susulan kemelut antara Jep dengan bekas rakan kumpulan Sepah, Shuib, yang kembali menjadi perhatian selepas isu persahabatan dan pembahagian bayaran dalam kumpulan dibangkitkan menerusi sebuah podcast.

Jep sebelum itu meluahkan rasa kecewa kerana mendakwa isu lama berkenaan terus dijadikan bahan publisiti sehingga menimbulkan tanggapan negatif terhadap dirinya.

Beliau turut menjelaskan bahawa urusan pembayaran ketika bersama kumpulan berkenaan dibuat secara individu dan bukannya melalui persetujuan pembayaran secara berkumpulan.

Related Posts