Macklemore sumbang AS$1 juta pendapatan jelajah untuk bantu Palestin | The Reporter

Macklemore sumbang AS$1 juta pendapatan jelajah untuk bantu Palestin

Macklemore sumbang AS$1 juta pendapatan jelajah untuk membantu rakyat Palestin
Gambar: Instagram Macklemore

Penyanyi rap Amerika Syarikat, Macklemore mengumumkan akan menyumbangkan keseluruhan AS$1 juta (kira-kira RM4.2 juta) pendapatan bersihnya daripada penyertaan dalam Loop Tour Ed Sheeran kepada enam organisasi yang membantu rakyat Palestin.

Menerusi kenyataan di Instagram, Macklemore atau nama sebenarnya Ben Haggerty berkata, beliau mahu perhatian kembali diberikan kepada nasib rakyat Palestin yang menurutnya masih terbunuh, hidup di bawah pendudukan tentera dan memperjuangkan kebebasan.

“Saya akan menyumbangkan keseluruhan AS$1 juta pendapatan bersih saya daripada Loop Tour Ed Sheeran kepada enam organisasi yang bekerja secara langsung untuk menyokong rakyat Palestin,” katanya.

Sumbangan itu akan disalurkan kepada Palestine Children’s Relief Fund (PCRF), HEAL Palestine, Gaza Soup Kitchen, Medical Aid for Palestinians (MAP), UNRWA USA National Committee dan Anera.

Baca juga:

Dalam kenyataan sama, Macklemore turut mengajak pemilik New England Patriots dan Gillette Stadium, Robert Kraft untuk menyamai jumlah sumbangannya, meskipun kedua-duanya mempunyai perbezaan pandangan mengenai isu berkenaan.

Menurut Macklemore, tumpuannya bukan terhadap dirinya, jelajah mahupun kontroversi yang tercetus, sebaliknya hak rakyat Palestin untuk menikmati kebebasan, maruah dan keselamatan di tanah air mereka.

Beliau turut menyentuh nasib ibu bapa yang membawa anak mendapatkan rawatan di hospital dengan kemudahan terhad serta petugas perubatan, paramedik, wartawan dan pekerja bantuan yang terus menjalankan tugas dalam keadaan sukar.

Macklemore berkata, pemberian bantuan kewangan sahaja tidak dapat menyelesaikan keadaan yang menyebabkan bantuan kemanusiaan terus diperlukan dan menegaskan beliau akan terus menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Apabila kitaran berita beralih, dan ia pasti akan berlaku, jangan ikut beralih dengannya. Bebaskan Palestin,” katanya pada penghujung kenyataan.

Sementara itu, Ed Sheeran menjelaskan keputusan menggugurkan Macklemore daripada jelajah berkenaan dibuat pihak penganjur dan bukannya dirinya. Susulan kontroversi itu, beberapa artis sokongan termasuk Finneas, Lukas Graham, Aaron Rowe dan kumpulan Beoga turut menarik diri daripada jelajah tersebut.

Related Posts