Remaja 14 tahun pandu kereta, langgar dua kenderaan di Perai | The Reporter

Remaja 14 tahun pandu kereta, langgar dua kenderaan di Perai

Kereta dipandu remaja 14 tahun terlibat kemalangan selepas dipercayai melawan arus di Perai.
Tangkap layar video tular memaparkan kejadian kemalangan membabitkan kereta dipandu individu berusia 14 tahun di Perai

Seorang remaja berusia 14 tahun dipercayai memandu sebuah kereta sebelum terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan lain di Taman Chai Leng, Perai, Pulau Pinang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu berlaku di dua lokasi berasingan dan video mengenainya turut dikesan tular di media sosial.

Menurut siasatan awal, remaja berkenaan memandu dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 sebelum melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

Baca juga:

Bagaimanapun, remaja itu kemudian meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5.

Kereta dipandunya kemudiannya melanggar sebuah lagi kenderaan yang sedang bergerak di laluan betul sehingga menyebabkan ketiga-tiga kereta mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana pihak dalam kejadian tersebut.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.47 malam pada hari sama dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

Susulan kejadian, polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau aktiviti anak-anak serta tidak membenarkan mereka yang masih bawah umur memandu kenderaan kerana tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

Related Posts