Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mempertahankan keputusan Kerajaan MADANI mengenakan premium tanah sebanyak RM1,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), sambil membidas kritikan pemimpin UMNO dan PAS yang didakwanya memainkan sentimen kaum serta agama.
Menurutnya, kadar premium itu diberikan susulan kesediaan KLSCAH menukar status tanah kepada tanah institusi, sekali gus melepaskan potensi pembangunan komersial bernilai tinggi seperti kondominium atau pusat beli-belah.
Beliau menjelaskan, bangunan berusia 103 tahun yang diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2007 itu turut mencatat defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000 akibat peningkatan kos penyelenggaraan, struktur bangunan yang semakin berusia serta keperluan menaik taraf kemudahan keselamatan dan teknikal.
Hannah turut menolak dakwaan bahawa kerajaan mengorbankan hasil sebanyak RM4 juta, selain menyifatkan tindakan pihak tertentu mengaitkan isu premium tanah dengan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai cubaan mengelirukan masyarakat.
Katanya, premium tanah, cukai tanah, cukai taksiran, cukai pendapatan dan sewa PPR merupakan bayaran berbeza yang mempunyai tujuan serta penerima masing-masing.
Dalam pada itu, beliau menegaskan DBKL turut memberikan manfaat kepada rakyat termasuk diskaun sewa sebanyak 50 peratus kepada 10,000 peniaga selama dua tahun, selain menetapkan kadar sewaan tapak bazar Ramadan sebanyak RM400 bagi satu lot sepanjang Ramadan.
Hannah turut menekankan kepentingan memelihara bangunan warisan Kuala Lumpur, sambil merujuk usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaik taraf Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara yang menurutnya melibatkan perbelanjaan RM600 juta.








