Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menegaskan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memintanya meletakkan jawatan susulan kontroversi pantun yang dibacakan di Dewan Rakyat, Isnin.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pelantikannya sebagai Timbalan Menteri adalah atas cadangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), bukannya Ahli Parlimen yang kini mendesaknya berundur.
“Ada Ahli Parlimen atau MP minta saya letak jawatan. Parti saya UMNO dan BN yang cadang nama saya sebagai salah seorang Timbalan Menteri.
“Presiden UMNO tidak minta saya letak jawatan pun,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Reaksi Ahli Parlimen
Dalam kenyataan sama, Ahmad turut menyindir parti yang diwakili Ahli Parlimen berkenaan dengan mendakwa mereka sudah mengalami kekalahan sebanyak empat kali dalam pilihan raya di beberapa negeri.
“Saya faham parti MP itu terluka sebanyak empat kali. Di Sabah, di Johor, di Negeri Sembilan dan terkini di Melaka.
“Jika di Sarawak pihak mereka bertanding, mungkin akan kalah untuk kali kelima. Mungkin,” katanya.
Beliau turut mengaitkan reaksi Ahli Parlimen berkenaan dengan pantun yang disampaikannya di Dewan Rakyat.
“Maka saya faham hanya dengan serangkap pantun, mereka telah melenting.
“Saya tenang sahaja, seperti biasa, saya seorang yang tenang,” ujarnya.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menggesa Ahmad meletakkan jawatan susulan tindakannya menyampaikan pantun yang dianggap menyindir gabungan itu ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.
Antara yang membuat desakan berkenaan ialah Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.
Mohd Sany secara terbuka mencabar Ahmad supaya segera meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi sehaluan dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Saya nak cabar sahaja Ahmad Maslan ini. Kalau dah tidak kena selera dengan Kerajaan MADANI, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini, saya cabar beliau letak jawatan,” katanya pada sidang media di Parlimen.








