Selepas lebih sedekad mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat filem Bollywood, kisah persahabatan Rancho, Farhan dan Raju berkemungkinan kembali menerusi sekuel 3 Idiots yang kini sedang dibangunkan pengarahnya, Rajkumar Hirani.
Hirani mengesahkan bahawa projek sekuel berkenaan masih dalam proses penulisan, dengan jalan cerita baharu yang akan membawa penonton melihat kehidupan tiga watak utama itu kira-kira 20 tahun selepas peristiwa dalam filem pertama.
Menurut Hirani, kisah kali ini bukan lagi mengenai kehidupan mereka sebagai pelajar kolej, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada kehidupan mereka selepas meningkat dewasa, termasuk kerjaya, keluarga dan cabaran kehidupan yang datang bersama usia.
Malah, Hirani mendedahkan ketiga-tiga watak itu akan berdepan krisis usia pertengahan, sekali gus membuka ruang kepada cerita yang berbeza daripada filem pertama tetapi masih mengekalkan unsur humor dan mesej sosial yang menjadi identiti 3 Idiots.
Perkembangan itu turut memberi khabar gembira kepada peminat apabila Hirani berkata barisan pelakon asal akan dikekalkan. Ini bermakna Aamir Khan dijangka kembali sebagai Rancho, bersama R Madhavan sebagai Farhan dan Sharman Joshi sebagai Raju, selain Kareena Kapoor Khan yang turut dikaitkan dengan projek berkenaan.
Hantaran Instagram yang dikongsikan Aamir Khan pula menyebut bahawa sekuel 3 Idiots sudah mendapat pengesahan daripada Hirani, selain menggambarkan kisah Rancho, Farhan dan Raju yang kembali selepas 20 tahun dalam fasa kehidupan pertengahan usia.

Baca juga:
- 3 Idiots bakal kembali, trio utama berdepan krisis usia pertengahan
- Usia bukan penghalang, Sabri Yunus kembali ke universiti pada umur 65 tahun
- Syed Saddiq & Bella Astillah pilih 10.10 sebagai tarikh bahagia
All is Well
“All is well” pastinya menjadi frasa yang kembali mencuri perhatian sekiranya projek itu direalisasikan. Frasa ikonik daripada filem pertama itu bukan sekadar dialog popular, malah menjadi antara simbol paling dikenali daripada karya Hirani tersebut.
3 Idiot kisah persahabatan diterbitkan pada 2009
Filem 3 Idiots yang diterbitkan pada 2009 mengisahkan persahabatan tiga pelajar kejuruteraan serta tekanan sistem pendidikan dan masyarakat terhadap pilihan kerjaya. Lebih 15 tahun selepas kemunculannya, kisah Rancho, Farhan dan Raju masih mempunyai tempat istimewa dalam kalangan penonton.
Jika sekuel itu akhirnya diterbitkan, persoalan besar yang bakal terjawab ialah bagaimana kehidupan tiga sahabat itu selepas meninggalkan zaman kolej dan sama ada mereka masih mampu mengingatkan penonton bahawa, dalam apa jua keadaan, “All Is Well.”
Sumber: India Today, Instagram Aamir Khan









